Taman Eko Rimba di Terengganu Dibuka Semula Mac Ini
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) akan membuka semula tujuh Taman Eko Rimba di bawah seliaanya bermula Mac depan
Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Helmy Tariq Othman berkata, ia membabitkan Taman Rekreasi Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Payung (Setiu); Air Menderu (Kemaman); Chemerung dan Rimba Bandar Bukit Bauk (Dungun); Lata Belatan dan Lata Tembakah (Besut) yang ditutup kepada orang ramai.
Namun katanya, pembukaan itu bagaimanapun bergantung keadaan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
“Sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, kawasan terbabit akan dipertimbangkan dibuka dengan lebih awal kepada pengunjung.
"Setakat ini Taman Eko Rimba di bawah kita masih belum dibuka kepada pengunjung kerana didapati MTL masih belum berakhir di negeri ini.
"Justeru, kita mahu memastikan kawasan terbabit selamat dikunjungi dan dijangkakan Mac ini akan dibuka kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti pendakian dan perkelahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.
Tambahnya, pemantauan dari semasa ke semasa di kesemua kawasan terbabit dilakukan bagi mengelak orang ramai menceroboh masuk ke kawasan itu.
"Setakat ini, kita belum menerima apa-apa laporan orang ramai melakukan aktiviti ke kawasan terbabit dan kita harap semua pihak mematuhi arahan ditetapkan," ujar beliau.
Pada 1 November lalu, semua Taman Eko Rimba di Terengganu ditutup kepada semua pengunjung ekoran hujan lebat berterusan dan banjir yang melanda negeri ini.