Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri disarankan menambah kawasan industri di Terengganu, agar pertumbuhan ekonomi semakin rancak dan kebergantungan pada hasil minyak dapat dikurangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata jika itu berlaku peluang pekerjaan bertambah dan pendapatan rakyat dipertingkatkan.
Katanya, sehingga kini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebahagian besarnya masih lagi bergantung kepada industri minyak dan gas.
“Kebergantungan kepada hasil minyak adalah sesuatu perkara yang merisaukan kita dan mampu memberi kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang.Bayangkan jika hasil bayaran Royalti Petroleum ini tidak dibuat bayaran kelak dan kita mengalami keadaan ini dengan hampir RM1 bilion masih belum kita perolehi
“Tidak pergi jauh, kali ini, kita terpaksa mengambil Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan ada bantuan-bantuan sebelum ini tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Justeru itu katanya, mempelbagaikan sumber kekayaan perlu diambil kira bagi menjamin kestabilan kedudukan kewangan negeri dengan memastikan bahawa pelaksanaan yang dibuat tidak membebankan rakyat dan adil kepada semua.
Tambah beliau, daerah Dungun dan Kemaman adalah dua kawasan di dalam negeri ini yang berpotensi mempunyai isi sumber mineral emas selepas posisinya berada di Jalur Emas ke-4.
“Oleh itu, Pembangunan industri mineral memerlukan suatu anjakan agar kita tidak hanya menumpukan kepada proses pengektrakan bahan mentah semata-mata.
“Dasar dan polisi komprehensif berkaitan mineral negara perlu diperkemas dan disesuaikan dengan potensi ekonomi dan kelestarian alam sekitar semasa,”katanya lagi.
Dalam masa sama, Ghazali berkata, integrasi pemegang taruh dan pakar-pakar berkaitan seperti agensi-agensi pusat dan negeri, industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan, pertubuhan akademi perlu diperhebat serta dikongsi dengan umum.
“Kerajaan negeri juga dicadangkan agar menubuhkan Akademi yang memainkan peranan dalam industri mineral, perlombongan dan galian sepertimana adanya Akademi Sains Malaysia (ASM),” ujar beliau.