Oleh: Adli Mohamad
DUNGUN, 29 Februari - Industri tanaman buah salak di Kampung Dendang, Bukit Besi perlu dipulihkan kembali kerana ianya mendatangkan pulangan yang lumayan kepada penduduk setempat.
Penghulu Mukim Jerangau, Abdul Ghafar Abu Bakar berkata, tanaman buah yang juga dikenali sebagai salak dendang itu merupakan mata pencarian orang ramai.
Jelasnya lagi, para petani sekitar kampung itu akan dikumpulkan agar usaha membangunkan kembali tanaman itu tercapai.
"Jika diusahakan semula, ianya boleh menjadi satu sumber pendapatan kepada penduduk Bukit Besi.
"Dan perkara ini kita nak fokuskan dan saya pun dah berbincang dengan timbalan pengawai pertanian dimana kita akan kumpulkan petani-petani salak ini untuk kita pulihkan balik," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Daerah Dungun di Pusat Pembangunan Pertanian Jerangau, kelmarin.
Hadir sama dalam majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Dungun itu ialah Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli serta pegawai-pegawai dari pejabat pertanian daerah Dungun.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang hadir berkata, rata-rata penduduk Bukit Besi turut berminat dalam bidang pertanian tersebut.
Tambah beliau, hasrat orang ramai itu akan direalisasikan dengan adanya program Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
"Dan sebagai penduduk kampung ini (pertanian) sahajalah hasil dan sumber pendapatan penduduk.
"Telah banyak tanah yang diusahakan oleh penduduk, dan kita sekarang dalam proses mengangkat RTB dan kita berharap agar perkara ini disegerakan oleh pihak tertentu, bagi memberi jaminan dan galakkan semangat untuk penduduk terlibat dengan pertanian," tambahnya.