HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Berdepan masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020, anak muda yang merupakan graduan dalam bidang ‘Industry Design’ dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)bangkit mencari idea untuk mengusahakan bisnes bagi menambah pendapatannya.
Mengambil langkah berani, Mohd Farhan Mohd Nasir,27, sanggup berdepan risiko dengan tempoh masa mencabar dalam mengusahakan variasi Popia Gedil yang dihasilkan menggunakan resepi tersendiri selain turun padang menghantar tempahan ke rumah pelanggan.
Farhan mengakui pada permulaan perniagaan beliau, ia tidak memberangsangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menghadkan operasi penghantaran, bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
Namun, dengan semangat tidak mudah putus asa, beliau terus mempromosikan perniagaannya melalui media sosial untuk melonjakkan jualan perniagaannya, dan ternyata kaedah itu membuahkan hasil sehinggakan dia berjaya membuka kafe pertamanya yang dikenali sebagai Tangan Lelaki Foods pada November 2021.
Bertanya tentang menu ‘best selling’, terdapat lebih lapan menu pilihan makanan termasuk aneka pilihan kek namun Popia Gedil dan Laksa Lodeh adalah menu yang selalu menjadi pilihan pelanggan di kedainya.
“Saya tidak sangka dapat sambutan menggalakkan dan gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial turut membantu membolehkan Tangan Lelaki Foods lebih dikenali ramai,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai kepakaran membuat kopi, Farhan memberitahu, pada awalnya dia adalah seorang yang 'zero' bila bercakap mengenai kopi.
Namun pengalaman dan ilmu yang diambil dari pelbagai pihak menjadikan dia lebih bersemangat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai pembuatan minuman tersebut.
"Bermula dari pemilihan kopi sehinggalah ia diminum pelanggan. Semuanya ada nilai tersendiri. Alhamdulilah, berkat ilmu yang dipelajari, saya cuba buat sendiri,”ujarnya lagi.
Menurutnya, antara minuman kopi disediakan ialah Americano, Iced Latte, Iced Caramel Latte, Iced Caramel Macchiato, Iced Green Tea, Iced Chocolate, Iced Vanilla dan Blue Lagoon dengan harga mampu milik.
Malah, anak ketujuh daripada lapan beradik ini, sekarang ini mampu 'tersenyum lebar' apabila jualan makanan serta minuman ala barat di kafenya kini, sudah mencecah antara RM8,000 hingga RM9,000 sebulan.
Mengakhiri perbualan, Farhan berkata buat masa ini, dia kini lebih fokus untuk memperkukuhkan lagi kafe yang sedia ada, sebelum memperluaskan perniagaannya di tempat lain.
“Insya-Allah, pada masa akan datang, saya akan membuka lagi cawangan yang baharu sekali gus dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan,” katanya yang kini menggajikan seramai tujuh pekerja.