• 05 Okt 2024 | 02 Rabiul Akhir 1446

Tanpa Panduan Guru, Tiada Siapa Bergelar Graduan

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober -  Tiada manusia mampu mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru setiap graduan supaya menghargai pengorbanan dan titik peluh para guru.

“Apabila kita menyebut perihal ilmu pengetahuan dan penuntutnya, semestinya para guru serta murabbi bukanlah insan yang asing.

“Maka Majlis Konvokesyen yang diadakan pada hari ini, seharusnya menjadi satu medan teristimewa, untuk kita semua khususnya para graduan, menyampaikan apresiasi serta penghargaan kepada para guru yang mendidik kita tanpa jemu, menjadi lilin membakar diri, demi menerangi perjalanan kalian sehingga ke akhirnya,” ujarnya

Beliau berkata demikian pada sidang ucapan Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) 2024 di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam di sini kelmarin.

Turut meraikan, Pengerusi Lembaga Pengelola KYIT; Che Alias Hamid, Pengarah Yayasan Islam Terengganu; Zahanapi Segaf, dan Ketua Eksekutif KYIT; Dzulkefli Mamat.

Untuk rekod seramai 60 graduan diraikan dalam majlis gilang gemilang itu, yang terdiri daripada dua program yang ditawarkan di KYIT iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Diploma Pengajian Islam.

KYIT turut mengurniakan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum kepada Nur Anis Solehah Hamzah dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, diraih oleh Nurul Ain Rahimi.

Kedua-duanya mencapai kejayaan dalam program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Bagi program Diploma Pengajian Islam, Penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum disandang oleh Nurul Hikmatul Hijrah Mohd Anuar, manakala Aqilah Ahmad Zaini adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Majlis turut mengurniakan Anugerah Ketua Eksekutif kepada Nor Asmira Syafika Jais dari Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.