KUALA TERENGGANU, 14 November – Terengganu terus melangkah ke hadapan dalam agenda tenaga boleh diperbaharui apabila Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau Tasik Kenyir kini berada pada landasan kukuh untuk menjadikan negeri ini sebagai peneraju tenaga hijau di Pantai Timur apabila siap sepenuhnya nanti.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman, projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu 2030 (PITiH 2030) dan menyokong aspirasi Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Katanya, projek tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa utama melibatkan integrasi tenaga solar dan hidro bagi mewujudkan sistem penjanaan tenaga yang stabil, efisien dan mesra alam.
“Fasa pertama sedang melalui proses penilaian bidaan kontrak dengan sasaran penjanaan 500 megawatt (MW) tenaga yang akan disambungkan ke grid nasional menjelang 2026,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam soalan lisan ketika menjawab soalan ADUN Telemong pada Persidangan DUN Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambahnya, fasa kedua pula akan menumpukan kepada pembangunan Hab Hidrogen Hijau di bawah penyelarasan PETRONAS, yang bakal menjadi platform pengeluaran hidrogen berasaskan tenaga boleh diperbaharui untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Hab ini dijangka menjadi platform penting bagi penghasilan hidrogen hijau berasaskan tenaga solar dan hidro, yang boleh digunakan untuk keperluan domestik serta dieksport ke pasaran antarabangsa, sejajar dengan hala tuju Malaysia ke arah neutral karbon menjelang tahun 2050.
"Fasa ini turut berpotensi menjadikan Terengganu sebagai negeri perintis dalam rantaian nilai tenaga hidrogen hijau, merangkumi penyelidikan, pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran tenaga bersih,” katanya.
Bagi fasa ketiga, kapasiti penjanaan tenaga dijangka meningkat kepada 1,000MW, menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab tenaga boleh diperbaharui terbesar di Pantai Timur.
“Mengintegrasikan sistem solar terapung dengan infrastruktur hidro sedia ada bagi meningkatkan kestabilan tenaga, mengoptimumkan penggunaan sumber air dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
"Kajian bagi fasa ini turut meneliti aspek kemampanan alam sekitar, impak sosioekonomi setempat serta kebolehlaksanaan teknikal dan kewangan agar pembangunan yang dijalankan tidak menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir yang merupakan kawasan tadahan air utama negeri," tambah beliau lagi.