lightning-solid
Berita :
Aroma Herba & Sajian Dunia Warnai Buffet Ramadan Hotel Primula Beach
Aroma Herba & Sajian Dunia Warnai Buffet Ramadan Hotel Primula Beach
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
65

KUALA TERENGGANU, 29 Januari – Aroma herba yang menyelerakan serta kepelbagaian hidangan serata dunia bakal mengisi meja berbuka puasa menerusi Buffet Ramadan Hotel Primula Beach yang tampil dengan konsep eksklusif dan berprestij sepanjang bulan mulia ini.

Buffet bertemakan “Hidangan Serata Dunia & Aroma Herba” itu menghimpunkan lebih 100 pilihan menu, merangkumi masakan Timur Tengah, Barat, ASEAN serta hidangan tradisional tempatan, sekali gus menjadikan setiap kunjungan pengalaman berbuka puasa yang berbeza dan istimewa.

Pengurus Besar Hotel Primula Beach, Suaibah Harun, berkata bufet Ramadan tahun ini disusun dengan teliti bagi memenuhi selera semua lapisan pengunjung, daripada keluarga hingga pelanggan korporat.

“Antara menu istimewa yang menjadi tumpuan termasuk baby lobster, daging rusa dan udang galah, yang jarang ditawarkan dalam buffet Ramadan biasa.

"Kesemua hidangan disediakan oleh cef berpengalaman dengan penekanan terhadap kualiti, rasa dan persembahan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan herba terpilih bukan sahaja meningkatkan aroma dan keenakan hidangan, malah memberi sentuhan autentik kepada setiap sajian yang dihidangkan.

Menurut beliau, bagi melengkapkan juadah utama, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pencuci mulut istimewa seperti kunaffa cake yang rangup berkeju, tiramisu cake yang lembut, sira nekbat serta kole kacang tradisional, sekali gus membangkitkan nostalgia dan kemewahan dalam satu hidangan.

Tambahnya, suasana berbuka puasa di Hotel Primula Beach turut menjadi nilai tambah apabila pengunjung dapat menikmati juadah dalam persekitaran yang selesa, luas serta berlatar belakangkan keindahan pantai, sesuai untuk majlis berbuka puasa keluarga, rakan-rakan mahupun syarikat.

Buffet Ramadan ini ditawarkan pada harga RM118 bagi dewasa dan RM58 bagi kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.

Sebagai tawaran istimewa, harga promosi awal RM88 turut disediakan dalam jumlah terhad untuk pelanggan yang membuat tempahan awal.

Suaibah berkata dengan kombinasi menu premium, suasana eksklusif dan harga yang berbaloi, Buffet Ramadan Hotel Primula Beach dijangka menjadi antara destinasi pilihan utama masyarakat setempat dan pelancong bagi mengimarahkan Ramadan sambil menikmati pengalaman gastronomi bertaraf antarabangsa.


Tag :

Artikel Berkaitan