Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Sedia 606 PPS Hadapi MTL
Terengganu Sedia 606 PPS Hadapi MTL
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
36

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Sebanyak 606 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu dikenal pasti bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Emilia Sumiyati Embong berkata, PPS berkenaan merangkumi pelbagai kategori premis bagi menempatkan penduduk yang terjejas sekiranya berlaku bencana.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 190 PPS berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), manakala tiga lagi bukan di bawah seliaan kementerian berkenaan.

"Selain itu, kemudahan yang dikenal pasti turut merangkumi 73 dewan, 132 balairaya, 82 masjid, 70 surau, enam pusat komuniti dan 50 premis lain," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, kesiapsiagaan turut melibatkan penyediaan 9,810 unit khemah lipat (collapsible tent) dan 1,087 unit pembahagi ruang mudah alih (mobile partition).

Menurutnya, kemudahan berkenaan merupakan antara keperluan logistik yang disediakan bagi menyokong pengurusan PPS apabila berlaku pemindahan penduduk akibat bencana.

“Seramai 350 pegawai ditempatkan di seluruh daerah termasuk di JKM Negeri Terengganu bagi membantu pengurusan kebajikan mangsa bencana,” ujarnya.

Tambah beliau, sokongan psikososial turut diberi perhatian menerusi penugasan 11 kaunselor dan pegawai psikologi, 36 anggota pasukan sokongan psikologi (Psychological Support Team – PST) serta 402 sukarelawan JKM.

"Dalam aspek penyimpanan dan pengagihan bantuan, JKM Terengganu mempunyai sembilan stor daerah, termasuk sebuah stor tambahan di Kemaman.

"Selain itu, sebanyak 127 pangkalan hadapan disediakan di seluruh daerah bagi menyokong kesiapsiagaan logistik dan memudahkan pengurusan bantuan bencana," katanya.

Dalam masa yang sama, orang ramai yang ingin menyumbang barangan keperluan bagi membantu mangsa banjir di Terengganu disaran menyalurkan sumbangan melalui pejabat daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan pengagihannya lebih teratur.

Katanya, penyelarasan sumbangan dibuat berdasarkan keperluan semasa dan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah.

Menurutnya, pihak berkenaan akan memaklumkan saluran yang sesuai, sama ada melalui JKM atau pejabat daerah, bergantung kepada keperluan setiap daerah.

“Bagi sumbangan yang diterima, kita akan melihat kesesuaian barangan dan menentukan pusat pemindahan sementara (PPS) yang memerlukannya untuk tujuan pengagihan.

“Kita tidak mahu sumbangan dihantar terus ke PPS tertentu tanpa penyelarasan kerana bimbang bekalan di sesetengah pusat tidak mencukupi, manakala pusat lain mungkin menerima lebihan barangan,” tambah beliau lagi.

Ujarnya, penyelarasan itu penting bagi memastikan sumbangan orang ramai dapat diagihkan mengikut keperluan sebenar mangsa banjir dan mengelakkan ketidakseimbangan bekalan antara PPS.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan disaran menghubungi pejabat daerah atau JKM terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat mengenai kaedah penyerahan dan keperluan semasa.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan