Tasik Kenyir Sajikan Acara Menarik Sepanjang 2018
Pelbagai aktiviti dan program dirangka di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sana.
Pengurus Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, dengan pertambahan bilangan pengunjung saban tahun ke Tasik Kenyir, aktiviti-aktiviti baru turut dirancang selain menambahbaik program sedia ada di pusat pelancongan tersohor itu.
Katanya, antara program yang sudah dirangka dalam masa terdekat adalah Kenyir Act Tourism Seminar dan Bengkel Promosi Pemasaran & Penjanamaan Tasik Kenyir pada Februari ini.
"Selain itu pihak Ketengah juga telah merangka Kursus Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Kepada Penggiat Pelancongan dan Penduduk Setempat di Tasik Kenyir pada Mac ini.
"Ianya bertujuan untuk kita nak lebih ramai komuniti yang melibatkan diri dalam pelancongan supaya mereka boleh menjana pendapatan," katanya kepada Teganukita.
Beliau ditemui ketika ditemui di Festival Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, semalam.
Tambahnya, 'houseboat' di Tasik Kenyir juga sudah habis ditempah bagi musim cuti sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
"Buat masa sekarang, permintaan terhadap houseboat sangat tinggi terutamanya pada musim cuti menyebabkan pengunjung perlu membuat tempahan lebih awal.
"Pihak kami juga dalam proses untuk meningkatkan mutu perkhidmatan 'houseboat' bagi memberi kepuasan kepada pengunjung yang hadir," katanya.
Dalam pada itu, Fathil berkata, Ketengah juga sedang giat mempromosikan produk pelancongan yang berada di dalam wilayahnya seperti Bukit Besi, Tasik Puteri, Hutan Lipur Chemerong dan pelbagai lagi sebagai destinasi pilihan untuk diterokai oleh pelawat dari dalam dan luar negeri.