• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Taska Permata WDI Kekal Operasi Di Premis Sama

KUALA TERENGGANU, 6 November- Kerajaan negeri menjelaskan bahawa Taska Permata Keluarga Wisma Darul Iman (WDI) kekal beroperasi di premis sama pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, langkah itu sebagai penyelesaian kepada isu sebilangan ibu bapa yang didakwa tidak menerima tawaran bagi penempatan anak masing-masing untuk kemasukan tahun 2024 di taska terbabit.

“Operasi taska ini akan diteruskan macam biasa pada tahun hadapan di premis sedia ada, jadi bagi ibu bapa yang telah menghantar anak di sini dan mengisi borang permohonan pada Oktober lalu boleh menghantar anak mereka macam biasa.

“Walaupun bangunan baru dalam proses pembinaan tetapi tahun depan memang kita tidak pindah lagi, diharap penjelasan ini melegakan ibu bapa yang selama ini ada tanda tanya berkenaan penempatan anak mereka dan operasi taska,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Taska Permata Keluarga WDI, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai pemindahan taska ke premis baru memandangkan premis yang masih dalam pembinaan itu saiznya lebih kecil berbanding premis sedia ada.

“Tempat baru (taska) bulan 5 atau 6 tahun hadapan baru siap fizikal. Jadi kemungkinan tahun 2025 baru boleh operasi.

“Jumlah kanak-kanak di taska ini kini seramai 120 orang manakala premis baharu nanti hanya dapat menampung 70 orang kanak-kanak sahaja, jadi kita akan ambil perjalanan untuk selesaikan isu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, ibu bapa diharap dapat memberikan kerjasama kepada pihak taska bagi memastikan anak-anak mendapat penjagaan yang sempurna.

“Pastikan anak-anak dihantar dalam keadaan yang bersih kerana ianya turut mempengaruhi emosi dan psikologi mereka, selain dapat ringankan tugas pengasuh.

“Selain itu, luangkanlah masa untuk turut serta dalam setiap program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan taska,” ujarnya.

Katanya, taska ini diwujudkan oleh kerajaan negeri untuk mempermudahkan kakaitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman.