Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
KEMAMAN, 12 Mac - Bank Muamalat Malaysia Berhad menawarkan pembiayaan membina rumah pertama kepada mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memberitahu sebanyak dua billion diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan pada sesi lepas bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk membina rumah.
"Hari ini kita bawakan bersama Bank Muamalat Cawangan Kemaman kepada mereka yang berminat untuk membina rumah secara kredit di bawah skim kerajaan.
"Kita tahu untuk membuat pinjaman di bank-bank sekarang agak sukar dengan pelbagai prosidur dan dokumen yang di perlukan bagi mengelakkan salah guna kemudahan yang ada," katanya.
Hazri berucap dihadapan 169 penerima dokumen Hakmilik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bercampur pada 8 Mac di Kompleks Paya Lasir, Kijal.
Beliau juga menyedari masalah yang timbul setelah masing-masing memiliki tanah tetapi kebanyakannya pula tidak mampu untuk mendirikan rumah.
"Kami, bagi pihak kerajaan cuba mencari jalan penyelesaian bagi mempermudahkan segala urusan berkaitan dengan perumahan untuk rakyat," ujarnya.
Bank Muamalat menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 melalui skim SMART Mortgage SJKP untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan termasuk pekerja ekonomi gig, peniaga dan usahawan kecil untuk memiliki rumah pertama mereka.
Skim tersebut dijamin oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) untuk membantu mereka yang layak dan tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan.