Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Tchetche Kipre Bakal Kembali Menyengat
Oleh: Mohd Zukifli Mat
KUALA NERUS, 13 Mei- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah memanggil tunggak utama pasukan Terengganu Football Club (TFC), Brice Hermann Tchetche Kipre.
Ini berikutan pemain impot itu masih gagal menemui sentuhan gol sepanjang enam perlawanan dalam aksi Liga Super sehingga menjadi buah mulut penyokong bola sepak Terengganu.
Timbalan PBSNT, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim ketika dihubungi berkata, Tchetche Kipre sebagai peledak gol utama pasukan TFC akan kembali menemui sentuhan berbisanya tidak lama lagi.
"Kegagalan beliau untuk meledakkan jaringan, memang menimbulkan keresahan peminat setia skuad Peteh.
"Malah amat diakui kami juga resah. Kita amat berharap penjaring terbanyak musim lepas ini perlu bekerja lebih keras lagi dan mempertingkatkan lagi usaha untuk memburu jaringan," jelasnya.
Ustaz Hishamuddin juga berharap agar peminat memberi sokongan padu buat Tchetche Kipre supaya auranya kembali menyerlah dan akan bangkit dengan lebih menyengat di perlawanan akan datang.
Hishamuddin mewakili pengurusan persatuan telah membuat inisiatif memanggil penyerang utama TFC ini sebelum berlangsungnya perlawanan menentang Melaka United baru-baru ini bagi mendengar sendiri penjelasan Tchetche.
Malah sebelumnya, Ketua Jurulatih TFC, Haji Irfan Bakti turut melakukan perkara yang sama bagi memastikan prestasi beliau semakin baik untuk dipersembahkan di masa akan datang.
Menurut Hishamuddin, Tchetche sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super 2018 dan penjaring terbanyak Piala Malaysia 2018, menjadi sasaran semua pertahanan lawan untuk mengekang kemaraan beliau.
"Dalam misi berpasukan, situasi ini amat perlu dimanfaatkan oleh pemain lain untuk merebut peluang menjaringkan gol ke gawang lawan.
"Perkara ini sempat dibuktikan oleh tiga pemain TFC ketika menentang Melaka United tempohari," ujarnya.
Katanya, tugas selaku penggempur utama pasukan TFC tetap digalas pemain berasal dari Ivory Coast itu.
"Prestasi semasa Tcheche akan diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan beberapa tindakan akan disusun sepenuhnya di bawah peranan pihak kejurulatihan.
"Kami serahkan kepercayaan penuh kepada Tuan Haji Irfan Bakti untuk menangani isu ini," ujarnya lagi.