Berita :
TDM Turun Padang, 120 Asnaf DUN Ladang Terima Bantuan
TDM Turun Padang, 120 Asnaf DUN Ladang Terima Bantuan
Mohamad Farhan Anam
1 jam yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 29 April - Seramai 120 penerima asnaf di DUN Ladang menerima sumbangan zakat wakalah berupa barangan dapur daripada TDM Berhad menerusi Program TDM Bersama Masyarakat Ladang.

Program berkonsepkan kemasyarakatan itu dilaksanakan bagi menyantuni komuniti setempat, selain membantu meringankan beban perbelanjaan harian penerima susulan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Wakil ADUN Ladang dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada TDM Berhad kerana memilih DUN Ladang sebagai lokasi penganjuran program tersebut.

Menurutnya, pemilihan kawasan itu membuktikan komitmen TDM dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

“Program ini bukan sekadar satu acara, tetapi mencerminkan kesungguhan TDM dalam mendekati masyarakat serta membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya.


Beliau berkata, inisiatif berkenaan wajar dicontohi kerana selari dengan tuntutan agama yang menggalakkan umat Islam sentiasa prihatin terhadap kebajikan sesama insan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa TDM Berhad sebagai anak syarikat kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha kebajikan dan sosial yang digerakkan kerajaan.

Katanya, kerjasama yang terjalin amat dihargai dan program seumpama itu menjadi platform penting dalam menjaga kebajikan rakyat di kawasan DUN Ladang.

“Selagi ada ruang untuk membantu dan meringankan beban rakyat, kita akan terus komited melaksanakan usaha sebegini demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi.

Program tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk PKM ADUN Ladang dan MAIDAM bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta memberi manfaat lebih menyeluruh kepada komuniti.

Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang, selain menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Semoga segala bantuan yang dihulurkan memberi manfaat kepada penerima dan menjadi asbab keberkatan serta ganjaran berterusan di sisi Allah SWT,” katanya.


Ketupat

Artikel Berkaitan