lightning-solid
Berita :
TDI Lulus RM17,892 Bantu Rawatan Ahmad Asyraf, Mangsa Kemalangan Babit RXZ
TDI Lulus RM17,892 Bantu Rawatan Ahmad Asyraf, Mangsa Kemalangan Babit RXZ
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
96

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan negeri menerusi Tabung Darul Iman (TDI) mengeluarkan dua Surat Jaminan (Guarantee Letter-GL) kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menanggung kos peralatan pembedahan dan keperluan pemulihan awal Ahmad Asyraf Talhah, 13, yang berjumlah RM17,892.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Mohd Said itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur hampir 60 peratus selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal Yamaha RXZ di Persimpangan Buluh Gading, Manir, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pihaknya menerima surat rasmi daripada Pengarah HSNZ berhubung keperluan kos rawatan remaja berkenaan.

Menurutnya, bantuan menerusi TDI itu melibatkan RM13,600 bagi peralatan perubatan untuk prosedur pembedahan melalui GL pertama, manakala RM4,292 lagi diperuntukkan bagi keperluan ‘dressing set’ menerusi GL kedua.

“Keseluruhan kos berjumlah RM17,892 telah diluluskan dan pihak hospital turut dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Ia bagi memastikan segala keperluan rawatan Ahmad Asyraf dapat disediakan dengan sewajarnya tanpa membebankan keluarganya,” katanya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman, pada Isnin.

Maliaman berkata, kerajaan negeri berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban keluarga mangsa sepanjang proses rawatan dan pemulihan Ahmad Asyraf.

“Kita berharap segala urusan rawatan dipermudahkan dan Ahmad Asyraf diberikan kesembuhan serta dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita bersama anaknya terbabit dalam kemalangan membabitkan peserta RXZ Members 8.0 di Persimpangan Buluh Gading kira-kira jam 11.50 pagi pada 31 Julai lalu.

Ketika kejadian, ibu Ahmad Asyraf, Syafirah Salim, 36, yang sedang hamil tujuh bulan dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Tanjung Sabtu ke Pasar Batu Enam untuk membeli barangan dapur.

Akibat kemalangan itu, motosikal dinaiki dua beranak berkenaan hangus terbakar, manakala Yamaha RXZ yang turut terbabit dilaporkan terbakar kira-kira 80 peratus.


Tag :

Artikel Berkaitan