KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Sebanyak RM26,000 diperuntukkan oleh TDM Berhad (TDM) bagi menyantuni 200 orang asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerusi agihan sumbangan tunai dan barangan keperluan asas sempena menyambut bulan Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif berkenaan membuktikan bahawa sesebuah syarikat patuh syariah tidak seharusnya memfokuskan kepada pencapaian komersial semata-mata, sebaliknya perlu menitikberatkan kelangsungan hidup komuniti.
Menurut beliau, setiap warga kerja korporat perlu sentiasa menyemai nilai empati serta melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) dengan penuh komitmen dalam setiap usaha mendekati golongan sasar.
"Program TDM Bersama Masyarakat ini mencerminkan komitmen kami yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada keuntungan perniagaan, malah sentiasa peka terhadap tahap kebajikan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program TDM Bersama Masyarakat Wakaf Mempelam, di sini, hari ini.
Majlis perasmian penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri merangkap ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

Katanya, bantuan barangan dapur beserta wang tunai yang diserahkan itu diharap dapat membantu golongan rentan merancang kewangan dan membuat persiapan asas menjelang bulan puasa.
"Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban para penerima, di samping menjadi medium terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara TDM dan penduduk di kawasan ini," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan matlamat kebajikan itu bukan sekadar program bermusim, tetapi dirangka supaya selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), khususnya SDG 1 iaitu Tiada Kemiskinan.
Tambahnya, sifat ihsan menuntut warga korporat supaya tidak sekadar selesa dengan keuntungan kewangan, sebaliknya menggunakan bulan Ramadan sebagai platform terbaik menyemarakkan amalan bersedekah serta membina perpaduan ummah.
Sementara itu, Dato' Wan Sukairi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha berterusan TDM dan menyeru agar budaya prihatin itu terus diperkasakan secara konsisten oleh syarikat-syarikat lain.
"Program seumpama ini amat bermakna khususnya dalam bulan Ramadan bagi memperkukuhkan nilai ihsan, kebersamaan dan sikap saling membantu dalam masyarakat," katanya.