TDM Berhad Jejak Kisah Kejayaan Anak Terengganu Pertama Tawan Puncak Everest

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Kumpulan TDM Berhad dengan jayanya meneruskan siri kesembilan program Menjulang Peradaban secara dalam talian melalui siaran langsung “Facebook Live” di halaman Facebook TDM Berhad baru-baru ini.

Sesi Menjulang Perabadan yang bertajuk “Memoir Puncak Everest” ini dibawakan khas oleh Muhamad Rafi Kori dan pasangan beliau, Marina Ahmad yang berkongsi kisah kejayaan dan pengalaman mereka berdua menakluki puncak tertinggi di dunia iaitu puncak Gunung Everest.

Muhamad Rafi merupakan anak kelahiran Terengganu pertama yang berjaya ke puncak Gunung Everest. Manakala pasangan beliau, Marina merupakan wanita Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest dan menempa nama dalam Malaysia Book of Records.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zainal Abidin berkata, pihak syarikat berbesar hati dapat menjemput pasangan tersebut menjadi tetamu program Menjulang Peradaban untuk berkongsi kisah kejayaan mereka.

“Topik Menjulang Peradaban siri kesembilan kali ini amat selari dengan objektif program untuk menjadikan peradaban bangsa sebagai medium meningkatkan prestasi dan gaya kerja dalam kalangan kakitangan TDM dan juga masyarakat.

"Pihak TDM berbangga menjadi tuan rumah dan bersama menyelami kisah kejayaan mereka yang seharusnya mendapat pengiktirafan pelbagai pihak," katanya.

Antara kisah yang dikongsikan oleh pasangan ini adalah tentang bagaimana minat pendakian bermula, persediaan penting yang merangkumi persediaan mental, fizikal dan spiritual diperlukan sebelum membuat pendakian, pengalaman getir sebelum tiba ke puncak Everest dan perasaan apabila tiba di sana.

Tambahnya, TDM merasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan kisah perjuangan ini agar masyarakat masa kini dapat mengambil tauladan dan semangat atas kejayaan yang telah dicapai oleh mereka berdua.

"Perkongsian ini penting bagi memberi dorongan kepada anak muda Terengganu yang lain untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang mereka harapkan.

"Kegigihan dan ketabahan pasangan itu membuahkan hasil apabila Ekspedisi Merdeka De Everest 2007 anjuran Persatuan Kembara Negara (PKN) telah membawa mereka ke puncak bersalji setinggi 8,848 meter itu pada 21 Mei 2007 sekali gus melakar nama sebagai barisan rakyat Malaysia yang berjaya menakluki Everest.

“Kejayaan mereka ini tidak datang bergolek tanpa usaha gigih dan semangat untuk mencapai matlamat meskipun pelbagai pahit getir serta halangan perlu diharungi," jelasnya.

Sebagai penghargaan di atas kejayaan dan perkongsian pasangan ini, pihak TDM turut menyampaikan cenderahati berupa sijil penghargaan dan wang tunai di akhir program tersebut.

Bahagian kesihatan TDM, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) juga turut menaja pakej-,pakej Pemeriksaan Kesihatan Eksekutif di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH), salah satu hospital anak syarikat TDM di bawah pengelolaan KMI Healthcare.

Untuk rekod ,Menjulang Peradaban adalah program bersiri bulanan ajuran TDM yang memberi fokus kepada tiga elemen iaitu sejarah, bahasa dan budaya.

Program itu kebiasaanya bertempat di Kuala Terengganu Specialist Hospital, akan tetapi disebabkan oleh keadaan pandemik COVID-19 yang begitu membimbangkan, program itu dijalankan di atas talian melalui Facebook Live di halaman Facebook TDM Berhad.


Tag: