KUALA TERENGGANU, 1 Ogos- TDM Berhad melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) menetapkan sasaran untuk mencapai kadar 100 peratus pekerja am dan 70 peratus penuai tempatan di ladangnya menjelang 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim, berkata, ianya merupakan sebahagian pelaburan TDM demi memartabatkan keupayaan dan potensi masyarakat tempatan, sekaligus membuktikan kadar kebergantungan industri perladangan terhadap pekerja asing dapat dikurangkan dengan usaha bersama serta meningkatkan sosio-ekonomi rakyat Terengganu.
“Kami yakin bahawa usaha ini adalah penting dalam memastikan kejayaan perniagaan kami dan kesejahteraan komuniti setempat, terutamanya pada kadar jangka masa yang panjang.”
“Pelan hala tuju strategik TDMP ke arah masa depan yang lebih mampan menjadi contoh progresif terutamanya dalam industri perladangan, yang juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, TDMP merangka pelbagai strategi serta pendekatan yang efektif.
“Syarikat merancang untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian tepat (Precision Agriculture) di ladang-ladang sawit bagi meningkatkan kecekapan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manusia.
“Penggunaan mekanisasi ini juga diharapkan dapat menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai industri perladangan. Selain itu, program latihan berterusan juga akan disediakan kepada pekerja tempatan untuk memperkasakan kemahiran dan teknik-teknik moden menggunakan peralatan-peralatan yang terkini,” jelasnya.
Katanya, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TDM akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi mempromosikan peluang pekerjaan di ladang-ladang sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang manfaat serta kelebihan menjadi sebahagian kakitangan perladangan di TDMP.
“Syarikat juga komited dalam menyediakan insentif yang menarik buat para penuai tempatan, termasuk gaji berasaskan prestasi, penghargaan atas usaha kerja keras dan dedikasi para penuai,” ujarnya.