KUALA TERENGGANU, 10 September – TDM Berhad (TDM) memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penanaman 200 fragmen terumbu karang di Taman Laut, Pulau Redang sebagai usaha memelihara ekosistem marin dan biodiversiti laut.
Inisiatif menerusi program Coral Conservation Programme: Protecting Our Reefs, Sustaining Our Future itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Menurutnya, usaha penanaman terumbu karang itu wajar diperkasakan bagi memastikan ekosistem marin di Pulau Redang terus terpelihara.
“Saya berharap inisiatif seumpama ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan diperluaskan ke kawasan lain di Terengganu melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kejayaan organisasi bukan hanya dinilai berdasarkan pencapaian perniagaan, sebaliknya turut merangkumi sumbangan kepada masyarakat, alam sekitar dan negeri tempat syarikat beroperasi.
Katanya, inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan TDM dalam mengintegrasikan tanggungjawab alam sekitar sebagai sebahagian daripada usaha membina nilai jangka panjang.
“Pemuliharaan khazanah marin memerlukan komitmen bersama, justeru kerjasama dengan kerajaan, agensi berkaitan dan komuniti akan terus diperkasakan,” ujarnya.

Inisiatif itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 14: Life Below Water yang memberi penekanan terhadap pemuliharaan ekosistem marin dan biodiversiti laut.
Kerjasama antara TDM dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu pula selari dengan UNSDG 17: Partnerships for the Goals yang menggalakkan perkongsian strategik antara sektor korporat dan agensi kerajaan dalam menangani cabaran kelestarian.
Melalui program tersebut, TDM berharap kesedaran mengenai kepentingan ekosistem marin dapat dipertingkatkan selain menggalakkan lebih banyak pihak terlibat dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negeri.