KUALA TERENGGANU, 11 November – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong disifatkan sebagai antara penyumbang utama kepada hasil negeri Terengganu dan manfaat yang diperoleh wajar disalurkan kembali kepada rakyat di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, kawasan itu memiliki pelbagai sumber hasil yang besar, termasuk tenaga air, tenaga solar dan unsur nadir bumi (REE).
"Telemong banyak menyumbang kepada hasil negeri Terengganu, contohnya Empangan Kenyir atau Stesen Kuasa Sultan Mahmud di Kampung Jenagor yang memberi royalti air kepada negeri," katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau menambah, projek solar terapung di Tasik Kenyir yang merupakan antara projek terbesar di rantau ini mampu menjana tenaga sehingga 2,000 megawatt setahun, sekaligus membuka peluang pendapatan baharu kepada negeri.
"Dengan hasil tenaga sedemikian, negeri bakal mendapat lebih RM100 juta setahun.
"Sebab itu saya mohon kerajaan negeri supaya hasil yang diperoleh daripada Telemong ini dapat disalurkan kembali kepada rakyat Telemong," ujarnya.
Mohd Zawawi turut menegaskan bahawa walaupun Telemong menyumbang hasil besar kepada negeri, namun kemajuan pembangunan di kawasan itu masih belum seimbang dengan sumbangan yang diberikan.
"Kita berharap supaya pimpinan kerajaan dapat menolong Telemong.
"Saya juga memohon supaya projek perumahan diwujudkan di sini, kerana sehingga sekarang masih tiada walaupun satu," jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Telemong dibangunkan sebuah bandar baharu yang mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan sosial penduduk setempat.
"Telemong ini sangat luas, keluasan hampir satu per empat negeri Terengganu.
"Namun peruntukan wakil rakyatnya tetap sama seperti kawasan lain sedangkan jalan, parit dan longkang di sini jauh lebih panjang," katanya dengan nada penuh harapan.
Mohd Zawawi menegaskan bahawa suara rakyat Telemong perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri agar pembangunan yang dirancang benar-benar menyeluruh, adil dan seimbang di seluruh Terengganu.