lightning-solid
Berita :
Tempoh Remedi Notis 425 KTN Dilanjut Hingga 7 Disember
Tempoh Remedi Notis 425 KTN Dilanjut Hingga 7 Disember
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
165

KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) berkaitan isu pengalihan aset di kawasan tanah Felda/FGV yang terlibat, daripada tarikh asal 4 Disember 2025 kepada 7 Disember 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, pelanjutan tempoh ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai maklum balas dan situasi yang berlaku di lapangan.

"Kerajaan Negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh remedi Notis 425 KTN bagi pengalihan aset yang sepatutnya berakhir hari ini 4 Disember 2025 dilanjutkan sehingga 7 Disember 2025," jelas beliau dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di media sosial beliau hari ini.

Jelasnya, lanjutan tiga hari ini memberi ruang masa tambahan kepada pihak-pihak terlibat untuk membuat persediaan dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya seperti yang termaktub dalam notis.

Dalam perkembangan sama, Dr. Azman turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa terbuka untuk berkomunikasi dengan pihak FGV Holdings Berhad (FGV).

"Kerajaan negeri bersedia bekerjasama sekiranya terdapat sebarang isu di lapangan yang memerlukan koordinasi dan penyelesaian bersama bagi memastikan proses penyelesaian isu tanah ini dapat berjalan lancar," tambahnya.

Notis Seksyen 425 KTN ini dikeluarkan sebelum ini ke atas entiti yang didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, terutamanya melibatkan ladang komersial FGV. 

Tindakan penguatkuasaan ini dibuat bagi menuntut kembali hak milik tanah negeri yang telah berlarutan selama beberapa dekad.

 


Tag :

Artikel Berkaitan