KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Terengganu akan menganjurkan pesta perdagangan berskala besar seperti Karnival Usahawan dan Koperasi serta Festival Halal yang akan menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk usahawan tempatan .
Menteri Besar, Dato Seri' Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu akan memberi impak besar di samping mengembangkan rangkaian, meneroka peluang pasaran baru dan meningkatkan kehadiran jenama tempatan di pasaran nasional dan global.
"Sekiranya kita mengadakan festival-festival ini, yang masanya kena dengan cuti sekolah, tentulah kehadiran pelancong yang ramai dari negara ini akan menjadi suatu medan untuk mempromosikan produk-produk tempatan ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2026, di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata Kerajaan negeri juga akan membantu usahawan dalam menguruskan pemasaran digital secara berpusat serta membangunkan perniagaan e-dagang.
"Program Anak Terengganu Certficate juga akan diperluas untuk memberikan keutamaan kepada perniagaan milik anak Terengganu dalam projek di bawah PETRONAS dan perolehan kerajaan negeri.
"Ini antara perkasa yang kita sentiasa tahu, setiap diantara kita ini bila pegang handphone maka tentulah e-dagang yang ada dalam telefon masing-masing dengan pelbagai nama yang tak nak saya sebut di sini, sentiasa bermain di bibir dan di mata.
"Jadi kita nak bawa supaya usahawan Terengganu ini juga diperkasakan dari segi e-dagang, supaya mereka boleh memasarkan produk dengan lebih berkesan," ujarnya.