• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

Terengganu Anjur Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul

KUALA NERUS, 16 September - Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir.Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bertujuan untuk memperkasa intelek dan meningkatkan kesejahteraan jiwa masyarakat. 

"Kita akan meneruskan pendekatan dakwah yang lebih bertenaga  melalui penyampaian ilmu dan tarbiyah, serta menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan melibatkan segenap lapisan masyarakat.

"Selain program-program yang dirancang oleh pihak kerajaan sepanjang bulan Rabi’ul Awwal ini, saya percaya pelbagai pihak akan turut menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemai rasa kasih dan cinta pada Nabi SAW," ujarnya ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tiba di Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyempurnakan perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri  dengan diiringi Ahmad Samsuri bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Turut berangkat, Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu pada Isnin disertai seramai 1,888 peserta daripada 59 kontinjen.

Perarakan sempena kelahiran junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW itu bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring sehingga ke Stadium Tertutup di sini dengan jarak 3.4 kilometer (km).