KUALA TERENGGANU, 21 November – Persidangan Antarabangsa Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) menjadi platform utama dalam memperkukuhkan kesatuan ummah dan memacu kemajuan negeri Terengganu ke arah kemampanan serta daya tahan ekonomi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, program itu diadakan bertujuan membina rangkaian kerjasama global dalam kalangan tokoh-tokoh utama dunia Islam.
"Walaupun tajuknya berkait dengan persatuan ummah, tetapi ia mempunyai objektif lain antaranya ialah dalam bidang pelaburan, pendidikan dan kebudayaan yang mana kita nak memperkenalkan Negeri Terengganu kepada negara-negara luar," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Turut hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Ridzuan Hashim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Adram Musa.
Mengulas lanjut kata beliau, program anjuran bersama Yayasan Perdana, Yayasan Permata Ummah (YPU), Sekretariat SG4 dan Menteri Besar Incorporated (MBI) itu akan dihadiri oleh perwakilan dari lima negara.
"Insya-Allah akan dikunjungi oleh lima buah negara iaitu Oman, Rusia, Filipina, Turki dan Indonesia,” ujarnya.
Menurut Khalil, persidangan ini merupakan kali kedua diadakan yang bertemakan kesatuan ummah ke arah kemampanan, daya tahan dan kemakmuran bersama.
"Kita adakan program seperti ini dan panggil wakil wakil daripada luar daripada Negara Timur Tengah daripada Rusia dan lain lain lagi.
"Jadi kita harap ia akan membuka pintu-pintu lain lah untuk kita terokai lagi selepas daripada ini," katanya.
Ucaptama akan disampaikan oleh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dan Ahli Parlimen Marang merangkap penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau menambah, acara ini akan diadakan pada hari Sabtu 23 November bermula daripada 9 pagi hingga 5.30 petang bertempat di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong.
"Melibatkan Negeri Terengganu termasuk ahli Parlimen, negeri negeri SG4 (Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam pusat dan pusat pendidikan.
"Penyertaannya bukan terbuka tapi terhad, insya-Allah akan ada siaran langsung," tambah Khalil lagi.