KUALA TERENGGANU, 10 November – Kerajaan Negeri Terengganu sedang memperluas kerjasama pelaburan strategik dengan syarikat antarabangsa dari Australia, Jepun dan Korea Selatan bagi membawa masuk teknologi pemprosesan Sumber Mineral Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang lebih moden dan mesra alam ke negeri ini.
Langkah itu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh daya saing ekonomi serta menarik pelaburan berimpak tinggi yang mampu memacu pembangunan industri masa depan, termasuk sektor mineral kritikal dan teknologi hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, rundingan tersebut adalah kesinambungan misi pelaburan luar negara yang dilaksanakan sejak tahun 2022 bagi menggalakkan pemindahan teknologi, meningkatkan kapasiti industri tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.
"Kerajaan negeri turut mengadakan rundingan dengan syarikat antarabangsa dari Oman serta PETRONAS bagi pengambilalihan dua lapangan minyak selain pengembangan aktiviti hiliran sektor minyak dan gas melalui syarikat milik kerajaan negeri, EPIC Berhad," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas prestasi pelaburan negeri, Mohd Nurkhuzaini memaklumkan bahawa Terengganu berjaya menarik sebanyak 50 projek pelaburan dengan nilai keseluruhan RM9.874 bilion sepanjang tempoh 2022 hingga Jun 2025.
Daripada jumlah tersebut, RM8.687 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus mewujudkan lebih 5,661 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil pelbagai misi promosi dan pelaburan secara bersama antara kerajaan negeri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan agensi berkaitan dengan memberi tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) menjadi platform penting dalam menarik pelaburan berkaitan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih.
"Antara inisiatif utama di bawah pelan tersebut termasuk pembangunan projek tenaga hibrid hidro dan solar terapung di Tasik Kenyir, pembinaan loji hidrogen oleh PETRONAS di Kerteh, pembangunan zon industri bagi teknologi karbon tangkap, guna dan simpan (CCUS) di Kemaman serta projek rintis turbin angin di kawasan pesisir negeri," katanya.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, PITIH 2030 turut menyasarkan penjanaan sehingga empat gigawatt tenaga hijau menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian komitmen negeri untuk membangunkan ekonomi mapan dan rendah karbon.
"Pada masa sama, kerajaan negeri sedang memperkukuh ekosistem pelaburan melalui pembangunan infrastruktur industri, perluasan zon pelaburan strategik baharu, pengukuhan diplomasi ekonomi antarabangsa serta pelaksanaan promosi pelaburan berasaskan teknologi digital.
"Ini termasuk memberi penekanan terhadap agenda pembangunan bandar rendah karbon, pengurusan sisa pintar dan ekonomi hijau selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," jelas beliau.
Mohd Nurkhuzaini menegaskan bahawa Terengganu komited menjadikan kekayaan sumber asli negeri sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi berorientasikan masa depan, sekali gus mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat.