Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Terengganu Bakal 'Kehilangan' Penyu Belimbing
KUALA TERENGGANU, 28 November - Terengganu sedang berdepan dengan ancaman kepupusan penyu belimbing apabila spesies itu sudah lama tidak mendarat dan bertelur di Rantau Abang, Dungun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata seorang pakar diperlukan untuk membuat kajian atau cadangan bagi pemulihan semula sumber penyu belimbing di Rantau Abang.
Beliau berkata, banyak faktor yang mempengaruhi kepupusan penyu belimbing antaranya perubahan ekosistem laut serta pantai akibat pencemaran dan pembangunan.
"Selain itu, projek penetasan yang dibuat dahulu dipercayai menghasilkan hanya penyu betina kerana suhu pasir yang panas akan menghasilkan anak betina saja sekaligus tiada jantan penyu belimbing mendarat selepas lewat tahun 90-an.
"Jadi, lupakan penyu belimbing sebaliknya menumpukan kepada penjagaan dan pemuliharaan sumber penyu agar yang masih banyak di pantai-pantai seluruh Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang) berkaitan apa yang terjadi kepada populasi penyu belimbing yang semakin pupus di Rantau Abang pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini.
Razali berkata, pada tahun 60-an terdapat usaha untuk pembiakan spesis itu tetapi hanya sedikit anak penyu belimbing terhasil dan telurnya pula dimakan.
"Malah, menurut pakar anak penyu mengambil masa lebih 30 tahun untuk matang namun hanya satu peratus yang berjaya hidup dan mencapai usia matang," katanya.
Dalam masa sama, Razali berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 bagi membaikpulih kaunter hadapan di pusat penerangan Pemuliharaan Penyu (TTIC) Rantau Abang.
Katanya, sebanyak RM300,000 juga diperuntukkan bagi menaiktaraf fasiliti untuk meningkatkan imej pelancongan serta penawaran perkhidmatan pelancongan yang lebih berkesan dan interaktif kepada pengunjung serta pelancong.
"Promosi juga dibuat dengan mengetengahkan Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk dan Pantai Teluk Bidara dalam fun map pelancongan Terengganu bagi menonjolkan destinasi kepada pelancong atau dalam erti kata lain 'product visibility' ," katanya.