Terengganu Benarkan Makan Dalam Kedai Mulai Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Orang ramai di Terengganu dibenarkan untuk makan di dalam kedai atau restoran bermula hari ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak walau bagaimanapun menegaskan, kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“SOP yang ditetapkan harus dipatuhi semua pengunjung dan pemilik premis, pastikan jarak 1 meter, peralatan mesti dinyahkuman dan bilangan pelanggan dihadkan sepanjang kedai makan beroperasi pada 7 pagi hingga 10 malam.

“SOP akan dipantau dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekiranya ada pelanggaran kita akan nasihat dahulu dan jika masih berdegil kita terpaksa kompaun mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas tentang pasar malam dan pasar tani, beliau memaklumkan pihaknya sedang meneliti dua tapak sebagai perintis pasar norma baharu sebelum  memuktamadkan sebarang keputusan.

“Dalam tempoh ini (bermula esok) sehingga 9 Jun kita buat kajian atau ‘pilot project’, jika berjaya dan peniaga patuh pada setiap SOP, kita akan buka sepenuhnya di tempat lain.

“Antara cadangan kita adalah di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sana ada kawasan luas, kita boleh aturkan ikut SOP kita, saya sudah arahkan PBT untuk mengambil tindakan.

“Pasar sedia ada kita tutup, tetapi sekiranya peniaga boleh patuh kepada cadangan kita termasuk jumlah peniaga dikurangkan berbanding kebiasaan contohnya 100 kepada 50, kita akan teliti dan buka kembali.

Dalam pada itu, pihaknya juga memutuskan untuk membenarkan klinik swasta, dan farmasi beroperasi mengikut lesen permit masing-masing.

Tambah Dr Alias, kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi kerana melibatkan kontak rapat dengan pelanggan.