KUALA TERENGGANU, 12 November – Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Negeri Terengganu terus mencatat deretan pencapaian positif yang membanggakan, bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri, malah mengangkat Terengganu sebagai model pentadbiran Islam yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menegaskan bahawa kejayaan ini merupakan hasil perancangan strategik dan pelaksanaan berdisiplin oleh kepimpinan negeri yang berpaksikan prinsip Islam serta mengutamakan rakyat.
“Segala pencapaian ini bukan hasil kerja sehari dua, tetapi manifestasi kesungguhan dan keikhlasan pimpinan yang menjadikan prinsip Islam sebagai dasar pemerintahan serta rakyat sebagai keutamaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam.
Antara pencapaian utama yang dikongsikan termasuk lonjakan ekonomi melalui Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI) yang merekodkan peningkatan pendapatan kumpulan daripada RM900 juta pada tahun 2018 kepada RM1.75 bilion pada 2024 hampir dua kali ganda dalam tempoh enam tahun.
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti EPIC Berhad turut mencatat sejarah dengan pendapatan tertinggi sebanyak RM403 juta, manakala TDM Berhad mengekalkan keuntungan selama lima tahun berturut-turut dengan pendapatan RM645 juta. Kejayaan ini turut memberi impak sosial melalui peluang pekerjaan, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta pembangunan komuniti setempat.
"Dari segi tadbir urus dan ketelusan kewangan, Terengganu kekal sebagai negeri nombor satu di Malaysia dalam Ketelusan Belanjawan bagi tahun 2022 dan 2024, menurut penilaian Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan badan bebas lain," ujarnya.
Kata Zuraida, kejayaan ini membuktikan bahawa setiap ringgit hasil negeri diuruskan dengan penuh amanah dan integriti, selaras dengan tuntutan Islam bahawa harta awam adalah tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah S.W.T.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan transformasi fiskal berani dengan memperkukuh hasil tanpa bergantung kepada royalti petroleum semata-mata.
"Pendapatan negeri kini turut disumbang oleh hasil pengurusan tanah, pelaburan strategik serta inovasi dalam sektor perikanan, pelancongan dan pertanian," ujarnya.