lightning-solid
Berita :
Terengganu Catat Lonjakan Hasil RM261.61 Juta, Kekal Tanpa Defisit
Terengganu Catat Lonjakan Hasil RM261.61 Juta, Kekal Tanpa Defisit
Husaif Mamat
10 Nov 25
706

KUALA TERENGGANU, 10 November - Terengganu terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh apabila berjaya merekodkan RM261.61 juta janaan hasil negeri setakat 31 Oktober, meningkat berbanding RM239 juta dalam tempoh sama tahun lalu. 

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah perbelanjaan direkodkan adalah sebanyak RM1.416 bilion, lebih rendah berbanding keseluruhan hasil yang dianggarkan, membolehkan negeri mengelakkan defisit fiskal serta memastikan ketersampaian perkhidmatan awam berjalan lancar.

“Sehingga berakhir 31 Oktober baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah menjana hasil berjumlah RM261.61 juta. 

“Manakala perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.416 bilion iaitu lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan hasil sekali gus berjaya mengelakkan defisit fiskal dan mengekalkan ketersampaian perkhidmatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, Terengganu komited untuk meningkatkan hasil negeri kepada RM288.59 juta pada tahun 2026 menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan ekonomi dan pengukuhan tadbir urus.

Bagi mengukuhkan kedudukan fiskal, keutamaan Kerajaan Negeri jelas beliau adalah pada meningkatkan kecekapan kutipan hasil sedia ada di samping mempelbagaikan sumber hasil dan mengoptimumkan penggunaan sumber luar

“Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri kepada RM288.59 juta iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai.

“'By unlocking our potential', saya percaya hasil janaan negeri mampu diusahakan untuk melepasi paras RM300 juta dan pertumbuhan ekonomi kekal mampan antara 3.4 hingga 4.2 peratus,” ujarnya. 

Kata beliau lagi, Belanjawan 2026 bertemakan 'Memacu Potensi, Melonjak Prestasi' dengan penekanan kepada gerak kerja yang lebih pantas, strategik dan berimpak tinggi melibatkan semua jabatan, agensi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) , badan berkanun dan anak syarikat kerajaan (GLC) negeri menuju aspirasi ‘Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera 2030’.

Menurut beliau, terdapat tiga fokus utama kerajaan bagi memastikan perancangan yang telah disusun dapat dijayakan. 

"Fokus pertama adalah memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan, termasuk mengukuhkan kedudukan fiskal serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan negeri secara menyeluruh.

“Fokus kedua pula menumpukan kepada menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan, dengan memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem perniagaan, pemerkasaan sektor perindustrian, pembangunan pelancongan serta merancakkan sektor pembangunan dan perumahan.

“Sementara itu, fokus ketiga adalah melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif, melibatkan usaha menstabilkan akses kepada barang makanan, membangunkan tenaga kerja tempatan terlatih serta memupuk gaya hidup sihat, selamat dan bahagia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa belanjawan ini dirangka dengan keyakinan bahawa Terengganu boleh terus memperkukuh kedudukan fiskal, memacu kemajuan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.


Tag :

Artikel Berkaitan