lightning-solid
Berita :
Terengganu Cipta 2,256 Peluang Pekerjaan Hasil Pelaburan Baharu
Terengganu Cipta 2,256 Peluang Pekerjaan Hasil Pelaburan Baharu
Mastura Jamal Din
10 Nov 25
386

KUALA TERENGGANU, 10 November - Sebanyak 2,256 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan di Negeri Terengganu sepanjang tahun 2024 hingga pertengahan tahun 2025 hasil pelaksanaan projek-projek pelaburan baharu dalam dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pada  tahun 2024,sektor pembuatan telah menyumbang sebanyak 247 peluang pekerjaan,manakala sektor perkhidmatan menambah lima peluang pekerjaan.

“Pada separuh pertama tahun 2025, jumlah peluang pekerjaan meningkat dengan ketara,apabila sektor pembuatan menyumbang sebanyak 1,971 peluang pekerjaan dan sektor perkhidmatan pula sebanyak 33 peluang pekerjaan.

“Secara keseluruhannya, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan pasaran pekerjaan baharu di Terengganu dengan jumlah keseluruhan 2,218 peluang pekerjaan,dikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak 38 peluang pekerjaan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.

Tambah Mohd. Nurkhuzaini, data tersebut secara tidak langsung mencerminkan kesan positif pelaburan baharu terhadap pembangunan ekonomi negeri serta menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi industri di Terengganu,terutamanya dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan berimpak tinggi.

“Kejayaan ini turut mencerminkan keberkesanan usaha promosi pelaburan yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta GLC Kerajaan Negeri yang menumpukan kepada pelaburan asing berimpak tinggi dan memperkukuh ekosistem industri tempatan,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan