Oleh: Syaharulhafizi Sulong
Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu perlu berganding bahu untuk menjadi benteng kepada agama Islam di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Kelantan, Dato’ Nassuruddin Daud berkata, banyak isu yang digembar-gemburkan oleh musuh Islam bertujuan memberikan fahaman yang salah terhadap Islam. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan Islam.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya ketika menyambut ketibaan delegasi Kerajaan Negeri Terengganu yang membuat lawatan kerja ke Kelantan semalam. Lawatan kerja tersebut bertujuan meninjau, berdialog dan bertukar pandangan dalam pentadbiran agama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ucapan balasnya menganggap Kelantan sebagai 'abang' kepada negeri Terengganu dengan pengalaman mereka memerintah selama 28 tahun.
“Saya berharap pertemuan ini akan memberikan manfaat kepada kita semua dalam bertukar pendapat dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payung mengetuai delegasi tersebut. Turut hadir, Timbalan Exco kedua-dua belah pihak, Ustaz Ridzuan Hashim dan Dr Md. Yusnan Yusof dan wakil agensi-agensi kerajaan dibawah portfolio yang berkaitan.
Rombongan turut dibawa melawat ke Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) yang ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan pemikir-pemikir agama di Kelantan.