KUALA NERUS, 26 April - Terengganu FC gagal mempertahankan kelebihan dua jaringan apabila sekadar seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super Malaysia, pada Sabtu.
Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tengku Hamzan Raja Hassan bermula cemerlang dengan menguasai permainan seawal minit pertama lagi.
Penyerang import, Yann Mabella yang baru kembali dari kecederaan membuktikan impak kehadirannya dalam kesebelasan utama apabila meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-17.
Pada minit ke-33, tuan rumah berjaya menjarakkan kedudukan hasil umpanan Gervane Kastaneer yang disudahkan Careca.
Separuh masa pertama ditamatkan dalam keadaan Terengganu FC selesa dengan perbezaan dua jaringan ke atas pelawat.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan FC lebih agresif melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah.
Sang Penyu bagaimanapun nyaris berjaya mematikan semangat lawan apabila Diego Landis menyumbat menjaringkan gol ketiga hasil sepakan percuma Panshanbe Ehsoni pada minit ke-55.
Namun, pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan gol berkenaan kerana offside.
Terengganu FC seakan-akan dapat meraih tiga mata dalam perlawanan ini, tetapi segalanya berubah bermula minit ke-56.
Pasukan pelawat mendapat sepakan penalti yang disempurnakan Joseph Esso, merapatkan kedudukan kepada 2-1.
Pada minit ke-88, Joseph Esso sekali lagi meledak jaringan, hasil hantaran lintang Mio Tsuneyasu dan kembali membuka perlawanan lebih seimbang.
Jaringan tersebut bagaimanapun mencetuskan kekecohan di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan dipercayai akibat kekeliruan ditimbulkan pengadil keempat dan penjaga garisan beberapa detik sebelum gol itu dijaringkan.
Jaringan tersebut disahkan pengadil dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Seri bermakna Terengganu FC masih kekal di tangga kelima liga. Namun, tugas getir menanti anak-anak buah Tengku Hazman yang akan berkunjung ke gelanggang Kuching City FC selepas ini.
Tag :