KUALA NERUS, 23 Disember - Terengganu FC tewas kepada Sabah FC 1-3 pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super Malaysia 2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.
Turun tanpa kelibat tonggak Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, Badrul Afzan Razali memberi kepercayaan kepada gandingan Akram Mahinan dan Kyaw Min Oo mengemudi nadi pasukan.
Pertaruhan itu tampak memberi impak apabila Sang Penyu berjaya menguasai permainan seawal minit pertama perlawanan.
Pada minit ke-14, penyerang muda kebangsaan, Fergus Tierney hampir mengejutkan tuan rumah dengan tandukan kencang yang ditepis keluar Suhaimi Husin.
Dua minit kemudian, Terengganu FC kembali menyerang dengan rembatan leret Gabiel Costa yang tersasar ke sisi pintu gol lawan.
Memasuki minit ke-25, Akhyar Rashid cuba memecahkan kebuntuan jaringan dengan gerakan solo, tetapi rembatannya sekadar singgah di tiang gol.
Penyerang kelahiran Kedah itu bagaimanapun berjaya meletakkan Terengganu FC satu gol di depan setelah menolak masuk bola hantaran lintang Safwan Mazlan pada minit ke-34.

Memasuki minit terakhir perlawanan, Tierney menanduk masuk hantaran lintang Miguel Cifuentes, meletakkan kedudukan 1-1 pada tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, perlawanan berlangsung pantas dengan kedua-dua pasukan cuba menjelmakan jaringan pendahuluan.
Pada minit ke-47, tandukan kapten Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni sedikit tersasar dari pintu gol.
Pelawat turut mendapat peluang pada minit ke-60 tetapi Suhaimi berjaya menyelamatkan sepakan deras Adjin Mujagic.
Safwan yang menerima lorongan kemas dalam kotak penalti, melakukan rembatan deras namun ditampan keluar Damien Lim pada minit ke-65 memberi peluang sepakan penjuru kepada tuan rumah.
Seminit kemudian, tandukan Diego Landis sekadar melepasi palang gol.
Pada minit ke-68, Careca hampir meledak jaringan, tetapi rembatan dari luar kotak penalti ditepis Damien.
Satu lagi percubaan Careca seminit kemudian turut dinafikan layangan kemas Damien.
Terengganu FC cuba mencuri satu mata dengan lebih banyak menyerang, bagaimanapun serangan balas Sabah FC pada minit ke-86 dihadiahkan penalti setelah hantaran lintang Cifuentes terkena pertahanan.
Adjin menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89, memberi kelebihan dua gol buat anak-anak buah Alto Linus di Gong Badak.
Keputusan kekal dengan kemenangan Sabah FC 3-1 ke atas Terengganu FC.
Bagaimanapun, kekalahan ini tidak menjejaskan kedudukan Terengganu FC di tangga kelima Liga Super Malaysia 2025 dengan 18 mata.
Terengganu FC akan melayan kunjungan Penang FC pada 3 Januari nanti.