Hishamuddin Abdul Karim (kanan) ketika meninjau kerja-kerja memotong rumput padang bola sepak baru-baru ini. Foto ihsan - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) |
Program itu menyaksikan TFC menjadi perintis dalam usaha MFL meningkatkan kualiti padang venue semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, beliau mendedahkan program itu terbuka kepada semua pasukan di mana mereka perlu mengemukakan permohonan kepada MFL sebelum sepak mula Liga Malaysia.
Kata Kevin, TFC telah menunjukkan minat dan memohon untuk menjadi perintis projek penukaran padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan program tersebut dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.
Jelasnya, komitmen tinggi dan usaha yang ditunjukkan TFC, kerajaan negeri Terengganu dan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di bawah Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu bakal meletakkan pasukan gergasi Pantai Timur itu berada dalam landasan terbaik untuk menjadi contoh sebuah lagi pasukan yang berjaya menstrukturkan diri mereka semula untuk berjaya secara teknikal dan komersial selepas fenomena Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah bermula pada 2013.
“TFC sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada inisiatif-inisiatif yang cuba dilakukan oleh MFL dan apa yang kita dapat lihat bahawa mereka melakukan satu usaha yang amat besar untuk struktur TFC bagi menjadi salah satu gergasi bola sepak Malaysia dalam jangka masa panjang.
“MFL berbangga dapat menyokong TFC sebagai perintis pada program MFL untuk memastikan kualiti padang bola sepak berada di tahap tertinggi untuk menggalakkan persembahan teknikal atas padang yang lebih baik dan menjadikan persembahan perlawanan Liga Malaysia yang boleh dibanggakan khusus untuk tontonan penyokong.
“Dengan kejayaan program ini, MFL dapat melihat proses-proses yang perlu dilaksanakan MFL dengan mengambil kira pemilikan stadium, kerajaan negeri dan lain-lain.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Jabatan Kerja Raya yang telah memberikan kerjasama baik bagi menjayakan program ini terutama TFC yang sedia menjadi perintis percubaan untuk program ini,” katanya.
Buat masa ini, TFC yang bertanding dalam Liga Super menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai gelanggang rasmi mereka dan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu dijangka akan menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkapasiti 50,000 penonton bagi kempen Piala Malaysia selepas projek menaiktaraf padang itu siap.
Kevin berharap projek bersama TFC itu dapat membuka mata lebih ramai pihak dalam usaha meningkatkan kualiti padang venue di Liga Malaysia.
“Saya berharap bila program ini berjaya, kita boleh perluaskan kejayaan ini kepada banyak lagi padang-padang bola sepak di masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim turun bersama Pegawai Eksekutif dan kakitangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) bagi meninjau kerja memotong rumput padang bola sepak baru-baru ini (4 April).
"Kerja memotong rumput adalah persediaan sebelum ruang padang stadium ini menerima kehadiran kontraktor pada 8 April nanti untuk kerja-kerja baik pulih padang.
"Kerja-kerja ini sebagai inisiatif KSNT agar rumput padang sedia ada boleh digunakan di mana-mana padang seperti padang latihan TFC di sekitar kompleks ataupun termasuk pemanfaatan di SSINS.
"Tenaga kerja yang bertungkus lumus semuanya secara dalaman. Inisiatif ini atas sifat untuk mengelakkan kerugian dan memanfaatkan lagi apa yang boleh digunakan," katanya.
Dalam perkembangan sama, menurutnya, beliau diberi peluang mengendalikan mesin.
"Insya-Allah, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan memiliki padang baru yang lebih sesuai untuk digunakan September 2019. Permulaan kerja akan menumpukan semakan terhadap sistem 'drainage' sedia ada sama ada berfungsi atau tidak.
"Dan selanjutnya barulah dimulakan kerja-kerja meratakan tanah dan penanaman rumput. Kalau tidak silap, maklumat yang saya terima tempoh hari, jenis rumput yang bakal digunakan adalah rumput Bermuda.
"Pada asalnya, rumput Paspalum tapi ia agak cerewet untuk diuruskan. Malah memerlukan air masin untuk proses siraman. Insya-Allah padang bola sepak ini akan mendapat kelayakan penggunaannya selepas selesai baik pulih.
"Baik pulih komponen yang lain, kita serahkan kepada pihak kerajaan negeri untuk memperhalusi cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak. Ia tidak mudah, tapi usaha ke arah memanfaatkan balik stadium ini akan sentiasa dilakukan dengan mengambil kira pebagai aspek.
"Kita rakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MFL atas peruntukan baik pulih padang ini.
"Untuk kerja pemantauan, MFL telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau yang dianggotai MFL, JKR, KSNT dan PBSNT. Jawatankuasa ini diketuai oleh Haji Marzuki Sulong," jelasnya.