Terengganu Giat Baik Pulih Rumah Terjejas Banjir

KUALA TERENGGANU, 15 Disember – Kerajaan negeri kini sedang dalam proses membaik pulih segala kerosakan rumah-rumah  terkesan dengan dua gelombang banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi banjir yang menimpa Terengganu dalam tempoh berkenaan tidak begitu teruk sebagaimana tahun-tahun sebelumnya khususnya jika dibandingkan dengan negeri lain.

“Kerosakan ini (rumah) sedang dibaiki sebenarnya…bukan dinilai sahaja tapi dibaiki terus.

"Kita guna apa jua peruntukan yang ada pada negeri dan juga memohon peruntukan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Majlis Imaratul Ilmi ke-5 Koleh Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI),di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, kerosakan jalan dan infrasturuktur juga berada di tahap minima kerana golambang banjir masih terkawal berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Jalan rosak  termasuk infrastruktur yang terjejas  juga minima..tidak ada jambatan yang rosak  cuma tanah runtuh di jalan- jalan persekutuan yang mana telah diambil tindakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),”katanya lagi.

Dalam pada itu ketika ditanya tentang kerugian serta perbelanjaan yang telah dikeluarkan, beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan termasuk kerosakan belum dirumuskan kerana MTL  secara teorinya masih belum berakhir dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa .

“Perbincangan sentiasa dilakukan untuk peruntukan dan kita luluskan.Untuk penjumlahan kita akan buat selepas MTL berakhir nanti,”ujar beliau.

Terdahulu, gelombang pertama merekodkan sebanyak 307 PPS dibuka yang menempatkan 43,273 mangsa daripada 11,707 keluarga.Gelombang seterusnya di Terengganu menjejaskan 5,853 orang melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.


Tag: