Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Terengganu Hantar Pelajar Ke Algeria Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 7 September - Terengganu akan mula menghantar pelajar dari negeri ini menyambung pelajaran di Algeria pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan telah mengadakan hubungan dengan beberapa negara termasuk Algeria bagi meneroka lebih banyak ruang dan peluang untuk menyambung pengajian ke sana di samping menyediakan pelbagai insiatif.
"Untuk makluman kita telah mengadakan pertemuan dengan negara terbabit melalui siri-siri pertemuan. Alhamdulillah pihak Algeria melalui institusi pegajiannya telah bersetuju untuk mengambil pelajar dari negeri ini untuk menyambung pengajian ke sana.
"Insya-Allah pada tahun hadapan dengan mengambil kira suasana akibat pandemik telah selasai kita akan mula menghantar pelajar ke 'University Of Algeria'," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Liqa Mahabbah Menteri Besar Bersama Pelajar-pelajar ke Timur Tengah Secara Dalam Talian, baru-baru ini.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam perkembangan yang sama, Satiful juga berkata bagi membuka ruang lebih banyak dan besar turut diusahakan kerjasama dengan negara Maghribi.
"Biasanya mereka memberikan kuota seramai 15 orang sahaja dari negara ini pada setiap tahun sedangkan pelajar kita semakin hari, makin bertambah bilangan menyatakan minat untuk belajar ke sana, jadi kita akan memohon untuk menghantar lebih ramai pelajar," ujarnya.
Katanya, kerajaan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dengan penyediaan biasiswa untuk membuka peluang belajar ke negara-negara terbabit kerana merupakan satu pelaburan yang mendatangkan pulangan lumayan pada masa akan akan datang.
"Bermula tahun ini juga akan diselaraskan pendaftaran dengan penyediaan dokumen pelajar dilakukan di Kuala Lumpur dan menguruskan kemudahan tiket, dimana Jabatan Pendidikan Islam negeri (JAPINT) berhasrat memudahkan ibu bapa.
"Dengan turut membantu melakukan proses pedaftaran kursus-kursus pendidikan sehingga mereka ke sana," ujarnya.
Sementara itu, Samsuri menyampaikan pesanan pada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di negara yang melahirkan para ulama dan tokoh-tokoh penting itu agar cekal sepanjang tempoh pengajian.
"Mengembara ke negeri atau ke rantau orang merupakan tradisi sejak zaman berzaman bahkan ulama besar dunia Islam adalah mereka mengembara untuk mencari ilmu.
"Pengajian ke Timur Tengah telah mahsyur tidak terhitung berapa ramai ulama, tidak terkecuali Malaysia dan khususnya dari Terengganu.Justeru kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Yayasan Terengganu dan lain-lain meletakkan pendidikan sebagai fokus utama. demi mehirkan pewaris, pimpinan dan ulama ke arah Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
Justeru katanya, para pelajar perlu menguatkan semangat dan tidak mudah berputus asa.
"Peluang berada di bumi orang, jauh dari kampung halaman dan keluarga, tidak semua orang boleh mendapatkannya, janganlah sia-siakan.Letak dalam minda kita untuk menjadi orang yang terbaik dalam kalangan yang terbaik, belajarlah dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh," ujarnya.