Terengganu - Huawei Jalin Kerjasama Transformasi ICT

Dato' Wan Nawawi melakukan pertukaran MoU bersama Abraham Liu sambil turut disaksikan oleh Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato' Seri Ahmad Razif. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Satu kerjasama antara kerajaan negeri dan Huawei akan menyaksikan Terengganu menerima teknologi digital yang terkini serta penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang dilakukan dalam program Hari Inovasi Asia Pasifik pertama Huawei di Kuala Lumpur itu bagi merangka bersama hala tuju transformasi digital negeri.

Dengan MoU tersebut juga, Huawei akan menyediakan kepakaran teknikal dan sokongan perniagaan dalam melaksanakan pelan transformasi.

Pelan ini akan memanfaatkan empat pemboleh ICT utama iaitu infrastruktur jalur lebar, infrastruktur awam, inovasi dan modal insan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerjasama itu penting dalam pembangunan sosio-ekonomi Terengganu di samping memupuk bakat digital dan merangsang pembentukan minda digital.

"Kami berharap agar dapat bekerjasama dengan Huawei dalam merealisasikan aspirasi Terengganu untuk diperkasakan dengan portfolio penyelesaian ICT 'end-to-end' yang menyeluruh, terutamanya dalam bidang e-dagang.

"Kami mengalu-alukan sokongan dari Huawei dalam membangunkan lagi infrastruktur IT negeri dan memudahkan orang ramai untuk menerima e-dagang sebagai alat untuk berkembang maju dalam era digital," katanya dalam satu kenyataan.

Pertukaran MoU tersebut dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Abraham Liu.

Turut hadir menyaksikan pertukaran tersebut Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Pegawai Eksekutif berputar Huawei Technologies Sdn Bhd, Guo Ping.

Melalui inisiatif yang dilakukan itu, Terengganu bakal memanfaatkan 'Internet of Things' (IoT) serta penggunaan platform aplikasi pintar bagi melaksanakan penyelesaian digital ke semua industri menegak seperti pendidikan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, peruncitan, keselamatan, kilang industri , rumah pintar, grid tenaga dan lain-lain.

Projek ini juga merangkumi perkongsian pengetahuan ICT secara terbuka melalui program latihan ke seluruh negara dengan harapan ia dapat memacu pembangunan sosio-ekonomi.

Tag: