Terengganu Inc Lancar Jejak Iftar Ramadan

Dr. Wan Ahmad Rudirman menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Yayasan Kebajikan Mahfatim yang menguruskan Madrasah Al- Huda.
Atas dasar tanggungjawab, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) melaksanakan program Jejak Iftar sebagai kerja amal sempena bulan Ramadan ini sepertimana tahun sebelumnya.

Program diadakan di Madrasah al-Huda di Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai, Marang, malam tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, kegiatan itu satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat korporat dan warga kerjanya sempena bulan yang penuh keberkatan ini.

"Bagi saya, program ini berjaya memupuk nilai-nilai murni dan keprihatinan warga kerja terhadap golongan yang memerlukan perhatian dalam masyarakat.

"Kami mensasarkan beberapa lokasi terutama yang jauh dan kurang mendapat bantuan bagi memastikan apa yang dilaksanakan memberi manfaat dan impak yang besar kepada penerima," katanya.

Warga kerja Terengganu Inc. menurukan sumbangan keperluan untuk diserahkan kepada pihak madrasah.

Selain menyediakan juadah berbuka bagi 45 orang penghuni Madrasah Al- Huda dan penduduk sekitar, Terengganu Inc turut memberi sumbangan wang tunai dan keperluan bagi kegunaan madrasah yang beroperasi sejak 14 tahun lalu itu.

Dalam pada itu, Mudir madrasah, Megat Abd Manan Idrus, 54, turut menghargai usaha yang dilakukan oleh Terengganu Inc. kerana tidak melupakan golongan seperti mereka.

"Bagi sistem pengajian yang tidak mempunyai sumber dana tetap seperti kami, usaha dan sumbangan syarikat memang amat merindui manfaat untuk kelangsungan pengajian di sini.

"Selain itu, kami juga terharu dengan kemesraan warga kerja Terengganu Inc. yang terlibat menjayakan program ini," katanya.


Tag: