KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Terengganu Inc memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan sepanjang Ramadan tahun ini menerusi inisiatif bertemakan ‘Harnessing Investment for the Rakyat’.
Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Dato' Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata peruntukan itu antara lain bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan serta mengimarahkan bulan penuh keberkatan tersebut.
Menurutnya, antara program utama ialah Jejak Ramadan, iaitu program ziarah dan sedekah tahunan yang menyantuni lebih 60 keluarga memerlukan termasuk warga emas, ibu tunggal dan individu uzur.
“Program Jom Shopping Raya pula membawa murid daripada keluarga asnaf dan fakir miskin di sekolah terpilih membeli kelengkapan Aidilfitri bagi menceriakan persiapan mereka menyambut Syawal,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, inisiatif lain termasuk Ramadan Outreach melalui Dapur Ramadan dengan kerjasama Kolej Al-Quran Terengganu, selain program Qaseh Ramadan bersama UiTM Chendering yang melibatkan aktiviti agihan makanan dan khidmat komuniti.
Tambahnya, Terengganu Inc turut menyalurkan sumbangan moreh dan juadah berbuka puasa kepada beberapa masjid sekitar Kuala Terengganu sebagai usaha memakmurkan institusi masjid dan mengeratkan hubungan masyarakat.
Burhanuddin Hilmi menjelaskan, pendekatan itu selaras komitmen syarikat untuk memastikan manfaat pelaburan bukan sahaja memberi pulangan ekonomi, malah turut memberi impak sosial kepada rakyat.
“Ramadan adalah masa terbaik untuk berkongsi rezeki. Kami berharap program ini dapat memberi kegembiraan kepada penerima dan pada masa sama mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” ujarnya.