KUALA TERENGGANU, 16 Mac — Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkan hari Khamis, 19 Mac 2026 sebagai cuti hari kelepasan am bagi seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohamad Azmi Mohd Daham berkata keputusan itu dipersetujui oleh Kerajaan Negeri bagi memberi ruang kepada rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Beliau berkata, tarikh tersebut bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah.
“Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk mengisytiharkan hari Khamis, 29 Ramadan 1447H bersamaan 19 Mac 2026 sebagai cuti hari kelepasan am bagi seluruh Negeri Terengganu Darul Iman sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut mengekalkan hari kelepasan am negeri pada Isnin, 23 Mac 2026 sebagaimana yang telah diwartakan sebelum ini.
Menurutnya, cuti tersebut telah diwartakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 pada 30 Oktober 2025.
“Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk mengekalkan Hari Kelepasan Am Negeri pada Isnin, 23 Mac 2026 sebagaimana yang telah diwartakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951,” katanya.
Beliau berkata penetapan cuti tambahan itu diharap memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini untuk membuat persiapan serta menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Tag :