KUALA NERUS, 1 Oktober – Terengganu akan membuka jalan bagi langkah awal pembangunan sektor perladangan buluh di Malaysia melalui pembinaan model ladang buluh di Pusat Latihan Industri Kayu Malaysia (TTITC), Kuala Berang.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) , Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, majlis pecah tanah dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Kerajaan Negeri Terengganu dalam bidang terbabit akan diadakan pada 4 Oktober ini.
“Penghasilan model ini adalah penting sebagai rujukan kepada pemain industri buluh dan para pengkaji supaya dapat membangunkan sektor perladangan buluh. Ini kerana, kepentingan buluh pada masa kini adalah sebagai industri yang berpotensi untuk ke peringkat dunia.
“Pasaran global untuk produk buluh kini dianggarkan bernilai USD68 bilion, dan digunakan dalam sektor bahan binaan, perabut, teksil, makanan dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu mulakan dengan kewujudan perladangan kerana kebergantungan kepada sumber hutan amat tidak stabil untuk masa depan.
“Kempen memperkasakan buluh di peringkat perladangan dalam skala besar disahut oleh Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perak. Langkah awal bermula dengan pembinaan model di Terengganu dan sekarang penilaian cadangan pelbagai syarikat sedang dibuat untuk meluluskan pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Syarahan Perdana YB Menteri di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus malam semalam.
Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sasaran adalah untuk tiga tahun kehadapan supaya negara mempunyai industri buluh yang mampu membekalkan hasil bagi memenuhi keperluan pasaran seperti ke kilang pulpa kertas berasaskan buluh, kilang arang dan kilang tekstil.
“Cabaran buat masa kini dari segi perladangan kerana para pelabur memerlukan sumber pengeluaran yang stabil.
“Oleh itu, dalam fasa ketiga tahun 2020 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025, kita berharap agar ia berjaya bergerak di peringkat sumber,” ulasnya.