Dr. Azman harap pengusaha gunakan peluang sebaik mungkin. |
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan mensasarkan 80 pengusaha negeri itu bakal dibantu bagi meningkatkan produktiviti pasaran ternakan itu.
"Bagi tahun 2019, Kerajaan Terengganu mensasarkan program peringkat pertama melibatkan 10 penternak setiap daerah.
"Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kita akan mengeluarkan separuh modal mendapatkan induk (benih) lembu dan separuh lagi iaitu kos penternakan dibiayai penternak, sesuai dengan slogan tersebut.
Tan Sri Halim tawar penerokaan pasaran luar negara untuk industri Lembu Sado. |
"Ini bertujuan mengembangkan industri ini. Pembangunan industri Lembu Sado dilihat mampu memenuhi pasaran daging tempatan.
"Kapasiti penternakan yang ada hari ini hanya mampu memenuhi 30 peratus permintaan daging.
"Berdasarkan data yang ada, kita melihat potensi 70 peratus pasaran yang boleh diterokai oleh pengusaha-pengusaha negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis 'Business Matching' Hab Lembu Sado Terengganu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, hari ini.
Dalam majlis itu, kerajaan negeri memeterai usaha sama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dengan bantuan tokoh perniagaan, Pengerusi Halim Mazmin Berhad, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad untuk memajukan industri daging Lembu Sado ke tahap lebih tinggi.
Dr. Azman turut berharap pengusaha negeri itu menggunakan peluang yang diberi dengan sebaik-baiknya.
"Hari ini kita mempunyai persetujuan bersama untuk meneroka usaha sama bersama JPV yang boleh menjana pendapatan untuk rakyat kita.
"Tan Sri yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menawarkan kesediaan untuk mencari pasaran luar bagi meningkatkan permintaan daging Lembu Sado," katanya.
Perkhidmatan Veterinar bersedia hadapi peningkatan produk ternakan Lembu Sado. |
Dalam pada itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dato' Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam memaklumkan, kini terdapat sebanyak 22,000 ekor Lembu Sado di seluruh negara.
"Dengan pengeluaran 3,700 metrik tan daging lembu ini tahun lalu, kita mensasarkan untuk meningkatkan sasaran 40,000 ekor lembu pada masa akan datang," katanya.