Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Dato' Wan Nawawi melakukan pertukaran MoU dengan Dato’ Dr Amin Khan sambil disaksikan oleh Dato' Seri Ahmad Razif dan Dato' Seri Idris Jala. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim. |
Kerajaan negeri melalui Unit Transformasi Negeri Terengganu (UTEN-T) melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Terengganu 2018-2025 untuk mentransformasikan industri pelancongan di Terengganu ke arah kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelan tersebut akan dikaji dan disediakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
Katanya, Terengganu kaya dengan kepelbagaian produk-produk pelancongan khususnya yang berteraskan kepada kekayaan alam semulajadi, keunikan budaya, kesenian dan warisan.
"Terengganu mempunyai pantai yang terpanjang di Malaysia, tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara, pulau-pulau pelancongan yang antara tercantik di dunia, keunikan biodiversiti di Setiu Wetland, warisan budaya yang unik dan sebagainya.
"Limpahan ekonomi dari kewujudan produk-produk pelancongan ini perlu dimaksimakan untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Produk-produk pelancongan ini perlu dipakejkan dan dikembangkan secara lebih efektif.
"Kita perlu bergerak ke arah re-positioning secara total sektor pelancongan Terengganu, penjenamaan destinasi dan “rebranding”, berkerja bersama dengan semua pegawai daerah dan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan yang akan bertanggungjawab membangun ekonomi tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Kajian Pelan Induk Pelancongan Terengganu - Transformasi Pelancongan Untuk Kemakmuran Ekonomi di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Dato' Seri Idris Jala dan Ketua Pegawai Eksekutif UTEN-T, Dato' W. Mohd Albakri Md. Nor.
Tambahnya, kaedah penyediaan pelan induk itu adalah mengambilkira pandangan-pandangan dan input-input dari pemain-pemain pelancongan, suara komuniti dari akar umbi dan dari pihak sektor swasta serta NGO.
"Ini selaras dengan konsep inklusif yang diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri dalam merancang masa depan rakyat dan pembangunan Negeri.
"Saya melihat pendekatan seperti ini amat perlu kerana 'bottom line' matlamat kerajaan negeri adalah untuk kesejahteraan rakyat.
"Oleh itu, kita perlu berkongsi perancangan negeri dengan rakyat yang akhirnya apa yang dirancang serta dibangunkan akan memenuhi aspirasi dan keperluan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata sektor pelancongan adalah salah satu tumpuan kerajaan negeri, di samping beberapa sektor lain lagi seperti bioteknologi, perkilangan, industri mineral dan ekonomi digital.
Katanya lagi, kerajaan negeri mensasarkan aktiviti yang berteraskan kepada sektor pelancongan samada di dalam bidang perhotelan, pengangkutan, peruncitan, restoran, industri kreatif dan sebagainya akan menjadi aktiviti ekonomi utama di Terengganu.
"Ini kerana, berdasarkan kajian yang lepas, pelancongan membawa kepada kesan pengganda (multiplier effect) sebanyak tiga kali ganda kepada perkembangan ekonomi dan 2.5 kali ganda kepada mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.