lightning-solid
Berita :
Terengganu Lancar Pelupusan Sampah Pirolisis Pertama Malaysia, Jana Ekonomi, Peluang Kerja
Terengganu Lancar Pelupusan Sampah Pirolisis Pertama Malaysia, Jana Ekonomi, Peluang Kerja
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
469

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Terengganu melancarkan tapak pelupusan sisa pepejal menggunakan teknologi pirolisis yang pertama di Malaysia dengan kos pembangunan RM50 juta.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi yang dibangunkan syarikat tempatan itu membuktikan sisa termasuk biomass dan 'waste' boleh diproses sehingga menghasilkan bahan api termasuk diesel yang boleh digunakan semula.

“Alhamdulillah, pada hari ini kita telah melancarkan dan merasmikan tapak pelupusan sampah dengan menggunakan teknologi pirolisis yang pertama di Malaysia dengan kos RM50 juta.

“Dengan keupayaan teknologi daripada syarikat tempatan, rakyat Malaysia sendiri, kita telah membuktikan bahawa proses pirolisis biomass ataupun 'waste' ini boleh berjaya dilakukan sehingga menghasilkan bahan api, termasuk diesel fuel yang boleh digunakan kembali,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan penggunaan teknologi berkenaan ke lokasi lain di Terengganu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membolehkan kaedah pengurusan sisa pepejal dilaksanakan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Ini antara perkara yang saya sangat teruja dan kita akan kembangkan lagi di negeri Terengganu.

“Kita cuba cari keadaan dan tapak yang sesuai supaya cara pengurusan sampah kali ini lebih baik daripada suasana sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, projek berkenaan turut dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Bagi sebuah tapak seperti yang dibangunkan ketika ini, kira-kira 150 pekerja diperlukan melibatkan pelbagai bidang termasuk teknikal, bukan teknikal serta kakitangan sokongan.

“Sekurang-kurangnya mereka memerlukan lebih kurang 150 orang pekerja dalam pelbagai bidang.

“Ada bahagian teknikal, bukan teknikal dan kakitangan sokongan. Ini dalam masa yang sama memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk terlibat sebagai tenaga sokongan kepada aktiviti seperti ini,” katanya.

Kerajaan negeri pada masa sama melihat penggunaan teknologi berkenaan sebagai antara pendekatan baharu untuk menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal di Terengganu, selain mewujudkan nilai baharu daripada sisa melalui penghasilan bahan api yang boleh digunakan semula.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Kilang Pemulihan Sisa Pepejal IGNiS 3R di Bukit Gelugor, Kerteh mampu memproses sehingga 8,000 tan sisa pepejal sebulan menggunakan 20 reaktor.

Menurutnya, pembangunan kilang itu dapat membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, selain mengurangkan pencemaran udara dan air melalui kaedah 3R.

Beliau berkata, kilang berkenaan turut menghasilkan biodiesel dan karbon yang berpotensi menjadi antara sumber ekonomi negeri.

Biodiesel yang dihasilkan pula boleh digunakan sebagai bahan api bagi kegunaan jentera dan kenderaan.



Tag :

Artikel Berkaitan