lightning-solid
Berita :
Terengganu Lancar Tabung Air Mata Aceh
Terengganu Lancar Tabung Air Mata Aceh
Adli Mohamad
16 jam yang lepas
101

KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Bencana Terengganu : Air Mata Aceh sebagai inisiatif kemanusiaan yang lahir daripada keprihatinan serta tanggungjawab bagi membantu rakyat di sana  agar bangkit setelah dilanda banjir teruk pada November lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, berkata usaha kemanusiaan itu bukanlah sekadar tindakan bermusim yang digerakan, sebaliknya ia merupakan iltizam berterusan Kerajaan Terengganu bagi menyuburkan budaya cakna, kasih dan peduli terhadap penderitaan insan sejagat.

"Menyedari betapa peritnya bebanan yang sedang ditanggung ini (rakyat Aceh) , kerajaan negeri terpanggil untuk memayungi dan seterusnya memberikan sokongan penuh kepada usaha murni NGO-NGO yang sedang menyelaras gerakn kerja bagi membantu mereka yang terkesan.

"Melalui pelancaran Tabung Bencana Terengganu : Air Mata Aceh ini, kerajaan negeri berharap agar sumbangan daripada pelbagai pihak dapat dihimpunkan secara lebih sistematik dan aset, kepakaran serta sumber kewangan dapat diselaraskan dengan lebih cekap serta terurus.

"Serta bantuan benar-benar sampai kepada penduduk paling terkesan sekali gus memaksimumkan impak pemulihan fizikal serta semangat buat rakyat Aceh," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program bantuan kemanusiaan itu, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini , semalam. 

IMG-20260205-WA0108.jpg 397.01 KB

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Azmi berkata tabung kemanusiaan itu juga merupakan manifestasi kepada semangat ukhwah islamiah dan solidariti kemanusiaan yang dijunjung oleh Terengganu selama ini.

"Ia adalah cerminan tanggungjawab moral Kerajaan Negeri Terengganu yang sentiasa peka serta mengambil berat terhadap penderitaan sesama insan tanpa mengira sempadan.

"Justeru, apa yang dilalui oleh rakyat Aceh kini seharusnya menyentuh hati nurani kita semua dan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna kerana simpati tanpa bakti tidak mungkin mampu mengubah nasib mereka," ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada NGO yang sedang menggerakkan misi bantuan ke Aceh. 

"Yayasan AMAL Cawangan Terengganu dan PAPISMA Terengganu yang telah bergerak ke Aceh pada 30 Januari lalu.

"PRIHATIN Anak Watan mula bergerak pada 2 Februari dan masih berada di Aceh bagi melaksanakan misi bantuan.

"Azhar Care, Ilham Care, KT Care, Iman Care dan lain-lain NGO yang secara konsisten telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan sejak tahun lalu,"ujarnya.

Sementara itu, turut diumumkan kutipan bantuan yang dapat dikumpulkan melalui beberapa anak syarikat kerajanan negeri antaranya TI Properties, EPIC Sdn Bhd, Golden Pharos, SATU, TDM yang berjaya mengumpulkan bantuan sebanyak RM116,000.00


Tag :

Artikel Berkaitan