DUNGUN, 3 Mac - Terengganu merekodkan kelulusan lesen sampan nelayan tertinggi dalam negara apabila lebih 1,000 lesen diluluskan menerusi dua siri pelaksanaan permohonan sejak 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, bagi tahun 2026 sahaja sebanyak 436 lesen sampan nelayan berjaya diluluskan selepas permohonan dibuka pada Oktober 2025.

"Sekarang ni 436 lesen. Jadi daripada dua Task Force tu kita telah mendapat kelulusan 1,000 lebih.
"Dan ini jumlah yang tertinggi dalam negara yang menyelesaikan di antara isu lapuk yang dihadapi oleh nelayan kita sejak daripada berpuluh tahun yang lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Agihan Lesen Sampan Nelayan 2026 siri ketiga di Seberang Pintasan, Dungun, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi serta ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.

Jelas Azman, kelulusan tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu lama membabitkan nelayan pantai yang berdepan kekangan mendapatkan lesen sah sebelum ini.
"Bila nelayan ini dapat lesen, mereka perlu turun ke laut, melaporkan hasil tangkapan di pusat pengisytiharan hasil LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia).

"Jadi bermakna perjuangan kita untuk menyelesaikan isu lesen sampan nelayan untuk nelayan pantai kita telah berjaya sebahagian besar," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati penerima lesen supaya mematuhi syarat yang ditetapkan serta memperbaharui lesen setiap tahun bagi memastikan status mereka kekal sah sebagai nelayan berdaftar di bawah Akta Perikanan 1985.