KUALA LUMPUR, 24 September - Pasukan Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Pahang 4-3 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Masih segar dengan kemenangan ke atas Sabah tempoh hari, Terengganu bermula garang dengan melancarkan serangan pantas.
Walau bagaimanapun Terengganu dikejutkan dengan jaringan awal Pahang menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke-3 selepas bola pukulan percuma gagal dikeluarkan penjaga gol.
Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu menambah variasi serangan melalui kiri dan kanan padang.
Hasilnya, dua gol berselang satu minit diledak ketua pasukan Terengganu, Fitri Saari masing-masing di minit ke-5 dan 6.
Perlawanan terus rancak berlangsung apabila kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar serangan sehinggalah pada minit ke-20 Terengganu memperoleh pukulan sudut penalti.
Peluang tersebut tidak disia-siakan Faizal Saari apabila dia bijak meletakkan bola ke penjuru kanan gol Pahang untuk kedudukan 3-1, keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu terus menguasai perlawanan namun jentera hadapan gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Pahang yang menerapkan corak serangan balas turut mencemaskan penjaga gol Terengganu dengan beberapa pukulan merbahaya.
Hasilnya pertahanan Terengganu melakukan pada minit ke-57 sekali gus memberikan pukulan sudut penalti kepada Pahang.
Muhammad Idris Samad menggunakan kesempatan itu dengan baik apabila menjaringkan gol kedua Pahang sekaligus merapatkan kedudukan 3-2.
Namun, Terengganu memberi tindak balas segera, dua minit kemudian serangan balas mereka sekali lagi menerusi Faizal Saari memerangkap penjaga gol Pahang.
Pahang cuba bangkit, namun masa tidak mencukupi dan hanya sekadar berjaya menambah satu lagi gol seminit sebelum perlawanan tamat
Gol pukulan sudut penalti menerusi Muhammad Idris Samad melengkapkan keputusan 4-3 memihak Terengganu dan kekal hingga wisel penamat.