Terengganu Miliki Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos- Berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti terdapat di Terengganu.

Selain negeri ini, ia juga dikenalpasti terdapat di sekitar kawasan pedalaman Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pembangunan NR-REE di Malaysia ini akan menjadi peluang baharu yang harus digunakan sebaiknya oleh pihak kerajaan bagi merancakkan semula industri mineral negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peluang berkenaan sewajarnya dimanfaatkan oleh kerajaan kerana harga mineral itu bakal  melonjak besar dalam tempoh dua dekad kelak.

Jelasnya, jika dinilai daripada trend semasa, pengeluaran sumber berkenaan dijangka akan terus meningkat dan akan menjadi keperluan utama kepada ledakan bidang Revolusi Industri Keempat (4IR).

"Berdasarkan penemuan sumber NR-REE yang bernilai tinggi ini, saya yakin negara kita mampu untuk bersaing di peringkat global bagi menjadi pemain utama serantau dalam membekalkan sumber ini.

"Rantaian pengeluaran domestik tidak hanya akan menguntungkan rakyat Malaysia, tetapi turut dapat menarik minat pelaburan asing, terutama ketika ekonomi dunia berusaha mempelbagaikan sumber bekalan mereka selain dari negara China," katanya dalam ucapan perasmian Simpomin NR-REE Kali Ke-10, di Putrajaya, kelmarin.

Mengulas lanjut katanya, kementeriannya sudah menetapkan beberapa sasaran utama yang merangkumi penumpuan terhadap pembangunan keseluruhan rantaian nilai NR-REE khusnya bagi peringkat pertengahan dan hiliran.

"Antarnya penggunaan sumber NR-REE secara optimum melalui penghasilan nilai tambah produk mineral tempatan, menarik kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan industri yang memiliki rantaian mineral yang lengkap dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam industri ini.

"Terutamanya dari aspek pemindahan teknologi, Kepakaran dan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dan akan turut membuka peluang pekerjaan melalui pewujudan ekosistem pembangunan industri mineral dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

"Melalui amalan prinsip perlombongan secara bertanggungjawab dan mampan,"ujarnya.

Ujarnya lagi, harganya juga dijangka akan meningkat sehingga 700 peratus kerana mendapat permintaan yang tinggi.

"Kerana bahan mentah ini jika diproses boleh digunakan untuk sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi,pembuatan kaca dan banyak lagi produk," katanya.