Terengganu Monsoon Surfing Popularkan Marang
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Motor Terengganu telah menganjurkan Terengganu Monsoon Surfing 2020 bertempat di Pulau Kekabu, Marang pada 17 hingga 19 Disember 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata program itu merupakan penganjuran pertama kali bersesuaian dengan musim monsoon dengan menampilkan aktiviti luncur air di lokasi Pulau Kekabu, Marang.
“Terengganu Monsoon Surfing 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terenggau dengan diuruskan oleh Kelab Motor Terengganu bertujuan bagi menggalakkan industri pelancongan Negeri Terengganu semasa musim monsoon ini yang menjadikan Terengganu, khususnya Daerah Marang sebagai satu destinasi pilihan bagi pelancongan dalam dan luar negeri.
“Ini juga dapat menepis tanggapan ramai yang mengatakan Terengganu bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang sesuai apabila tibanya musim monsoon, malah dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk berkunjung, bukan hanya sebagai peserta malah sebagai tontonan kepada semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu Monsoon Surfing 2020 Kekabu Surf Competition.
Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu Encik Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Selain itu, beliau berkata, Terengganu Monsoon Surfing 2020 ini melibatkan penyertaan seramai 65 orang dari Terengganu, Pahang, Langkawi dan Johor yang mana ada diantara mereka adalah Atlit Malaysia di peringkat SEA Games dan juga peluncur professional.
“Penganjuran ini juga sentiasa memastikan segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara semasa tempoh PKPP dan PKPB ini dipatuhi oleh peserta malah pengunjung yang datang menyaksikan acara ini.
“Melihat kepada penganjuran ini, Pulau Kekabu dilihat sebagai lokasi yang terbaik dan berpotensi untuk penganjuran program sebegini pada masa hadapan dan mampu menjadi acara identiti kepada Daerah Marang, maka Terengganu Monsoon Surfing ini akan dianjurkan lagi pada tahun 2021 dengan skala yang lebih besar. Ujarnya.
Ia bukan sahaja dapat mempromosikan kempen Beautiful Terengganu Malaysia malah, apabila tiba musim monsoon, Terengganu tetap menjadi pilihan destinasi pelancongan.