Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. |
Justeru, katanya, rakyat perlu memberi sumbangan idea dan nasihat supaya negeri ini terus berketerampilan sebagaimana slogannya Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Menurut beliau, kerajaan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana kepimpinan sedia ada adalah manusia yang sudah pasti mempunyai kelemahannya tersendiri.
"Justeru saya bagi pihak kepimpinan negeri dengan rasa rendah diri, ingin memohon kemaafan kepada rakyat sekiranya sepanjang lapan bulan kami memegang tampuk pemerintahan berlaku kelemahan dan kekurangan.
"Kami adalah manusia di sisi Allah yang lemah, setiap hari kita memohon kepada Allah supaya anggota pentadbiran diberi kekuatan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah dipikulkan. Justeru sama-samalah kita membantu kepimpinan yang ada," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, tugas yang berat ini tidak boleh dilaksanakan oleh anggota kerajaan termasuk seorang Menteri Besar tanpa sokongan dan dokongan semua pihak.
"Tugas tersebut akan mampu dipikul sekiranya mendapat sokongan dan dokongan seluruh rakyat dari semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia sehingga sampai kepada yang paling tua.
"Ini termasuk yang duduk di bandar dan di kampung perlu memberi sokongan dan dokongan, memberikan panduan dan cadangan supaya kita dapat membina negeri kita bersama," katanya.
Mengenai tahun baru 2019, beliau menyifatkannya sebagai tahun yang amat mencabar dari aspek ekonomi, politik dan semua perkara.
"Masing-masing di antara kita akan menggalas tugas yang semakin berat. Anggota keluarga akan menggalas tugas untuk mendidik keluarga dan anak masing-masing.
"Pentadbiran kerajaan akan mencari jalan menambah baik kelemahan 2018 supaya 2019 ini dapat melaksanakan tugas dan tanggungajwab masing-masing dengan lebih cekap dan efisyen," jelasnya.
Justeru beliau berdoa agar Allah memberi panduan dan keberkatan dalam menggerak dan mengurus tadbir negeri Terengganu sehingga mencapai objektif bagi mendapat keredhaan Allah SWT.