Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas

OMAN, 8 November - Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikatnya, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memeterai perjanjian usaha sama pengendalian industri huluan minyak dan gas dengan syarikat Oman.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama turut melibatkan sektor penjagaan kesihatan, perkilangan serta pelancongan. 

Katanya, perjanjian bersama MB Holding LLC Group melalui anak syarikatnya, Petrogas Sisma dan Petrogas E&P Oman akan membuka ruang lebih luas dalam ekplorasi tenaga, minyak dan gas serta sektor lain.

"Kerjasama strategik ini dijangka mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan baru dalam usaha kerajaan negeri memperbaiki taraf hidup rakyat Terengganu di masa hadapan.

"Kedua-dua pihak secara efisien akan melaksanakan pembangunan komersil termasuk sektor minyak dan gas, penjanaan tenaga dan lain-lain industri hulu yang melibatkan di kawasan pengoperasian bagi pembangunan di kawasan terbabit," jelas beliau.

Ahmad Samsuri yang juga pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian di Muscat, Oman.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ir. Khairil Nizam Khirudin, Pengurus Besar Invest Terengganu, Mohd Adzhar Mohd Zahari, Pengurusan Tertinggi Terengganu Inc, EPIC Berhad dan Petrogas Sisma.

Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) diketuai Samsuri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Manakala MB Holding LLC diwakili Pengerusinya, Dr. Mohamed Al Barwani. Terengganu Inc dan Petrogas Sisma diwakili oleh CEO, Dr. Jamal Yusof. 

Dalam pada itu, menurut Terengganu Inc, kerjasama tersebut menandakan komitmen pihaknya dalam meneroka potensi sektor huluan minyak dan gas dan juga beberapa bidang lain.

"Dua perjanjian persefahaman telah termeterai pada hari ini iaitu, perjanjian pertama yang ditandatangani, adalah antara Terengganu Inc dan anak syarikat milik MB Holding LLC Group, Petrogas E&P Oman melalui Petrogas Sisma Energy yang beroperasi di Malaysia bagi meneroka potensi kerjasama di sektor huluan minyak and gas di negeri Terengganu.

"Petrogas E&P mempunyai kekuatan dalam  mengendalikan sektor huluan minyak dan gas termasuk 'Late Life Assets' di Eropah, Timur Tengah dan Afrika dengan pengeluaran sebanyak 100,000 tong sehari. 

"Dengan kekukuhan perniagaan dan pengalaman yang dimiliki oleh Petrogas, ekplorasi perniagaan ini dijangka membuka ruang lebih besar untuk hubungan perniagaan jangka panjang di Terengganu secara khususnya dan di Malaysia secara amnya," jelas Terengganu Inc.

 


Tag: